Mohon sedia parkir khas kepada ‘rider’ makanan di premis komersial

Admin
PADANG KOTA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diminta mempertimbangkan cadangan supaya mewujudkan parkir khas untuk penghantar makanan (rider) dalam talian di tempat-tempat tumpuan awam.
Ahli Majlis bagi MBPP, R. Hari Krishnan berkata, ini ekoran terdapat sebilangan besar penghantar makanan kerap kali menerima saman daripada pihak berkuasa akibat meletakkan motosikal mereka di luar premis komersial.
“Ada di antara mereka perlu masuk ke tempat yang sama lebih dari 10 kali sehari dan mereka dikehendaki membayar caj parkir, hal ini sudah pasti membebankan selain menyebabkan urusan penghantaran makanan menjadi lambat.
“Tambahan pula, tindakan saman dilihat telah menjejaskan mata pencarian mereka kerana nilai saman adakalanya mencecah ratusan ringgit.
“Walaupun nampak mudah, tetapi bagi saya MBPP perlu menangani isu tersebut agar nasib golongan penghantar makanan ini lebih terbela kerana ada di antara mereka ini kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” ujarnya pada Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 07 bagi MBPP di Dewan Bandaraya di sini pagi tadi.
Tambahnya lagi, penghantar makanan dilihat sebagai salah satu daripada tulang belakang kepada penggerak ekonomi yang harus dibantu.
“MBPP juga boleh mempertimbangkan untuk melupuskan saman-saman berkaitan sekiranya Kerajaan Negeri sekarang diberi mandat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.
“Jasa mereka turut mempertaruhkan nyawa setiap hari demi menyara keluarga dan beberapa premis komersial juga dilihat telah memulakan usaha menyediakan parkir khas ini kepada penghantar makanan terlibat,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran mengesahkan Jawatankuasa Tetap Perancangan Pemajuan telah bersetuju dan meluluskan Request for Concept & Quotation from Consultant (RFCQC) bagi Pemuliharaan Bangunan Pasar Campbell.
Jelas Rajendran, sebelum ini Jabatan Warisan Negara turut memberi nasihat mengenai rancangan pemajuan tersebut yang dilihat termasuk dalam zon teras Bandar Warisan Dunia UNESCO.
“Dalam manjalankan projek ini, pihak Majlis turut mendapat khidmat nasihat daripada International Council on Monuments and Sites (ICOMOS) selaku pakar dalam bidang, memang tidak dinafikan impak kepada bangunan sekeliling turut menjadi kebimbangan.
“Justeru, MBPP perlu memanggil semula untuk RFP bagi mereka bentuk semula projek tersebut pada asalnya projek naik taraf lima tingkat, ini termasuk mengukur skala kesan rancangan pemajuan berkaitan,” maklum Rajendran.
Tidak ketinggalan, Rajendran memaklumkan MBPP telah meluluskan rancangan mewujudkan taman mesra haiwan peliharaan atau ‘Pet Friendly Park’ dekat Taman Scotland berhampiran Padang Polo.
“Kami (MBPP) mahu mewujudkan persekitaran yang mana pemilik haiwan peliharaan dapat membawa peliharaan mereka bersiar-siar di sini,” katanya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR