MoU pengantarabangsaan pendidikan tinggi, budaya termeterai

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

GEORGE TOWN – Pulau Pinang memeterai memorandum persefahaman (MoU) strategik dengan University of Bradford, United Kingdom bagi mengantarabangsa dan mempromosikan pendidikan tinggi serta usahasama kebudayaan antara kedua-dua entiti berkaitan di sini baru-baru ini.

MoU ditandatangani Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim dan Naib Canselor University of Bradford, Profesor Brain Cantor di hadapan Timbalan Ketua Menteri II, Profesor Dr. P. Ramasamy yang juga merupakan Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi.

Bercakap kepada pemberita, Abdul Malik memberitahu, objektif utama MoU tersebut adalah untuk mewujudkan jalinan kerjasama strategik yang lebih erat serta profesional dalam usaha pengantarabangsaan pendidikan tinggi termasuk pertukaran kepakaran, sumber dan teknologi pembelajaran serta pengajian tinggi, pembangunan kurikulum dan program penyelidikan rangkaian bersama.

“Kerjasama antara Pulau Pinang dan University of Bradford dalam bidang pendidikan tinggi dan kebudayaan kini telah memasuki fasa baharu.

“Oleh itu, saya berharap MoU yang dimeterai ini akan menjadi simbol yang tidak terbatas kepada hubungan dua hala yang erat serta mencerminkan ketelusan untuk berkongsi pengetahuan sama ada dalam kalangan ahli akademik mahupun pelajar di Pulau Pinang dan UK,” katanya selepas majlis berkenaan.

Dalam pada itu, Profesor Brain berharap dapat menjalinkan kerjasama utuh bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang terutama dalam bidang pendidikan tinggi, eksplorasi sejarah, perkongsian teknologi maklumat, pengurusan dan pentadbiran, kebudayaan.