Blogger iktiraf P. Pinang antara lokasi persaraan terbaik dunia

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : LAW SUUN TING

PANTAI JEREJAK – Pulau Pinang dinyatakan sebagai antara destinasi persaraan terbaik dunia, demikian lapor sebuah laman blog, huffpost.com oleh Kathleen Padicord baru-baru ini.

Penulisan beliau banyak menyentuh mengenai sosio budaya George Town, komunikasi kepelbagaian etnik dan budaya, makanan, persekitaran, pelancongan, kemudahan serta warisan negeri ini.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, ‘gelaran’ tersebut merupakan satu lagi pengiktirafan kepada negeri Pulau Pinang yang sememangnya menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

“Jika kita lihat penulisan ini, tentulah beliau (penulis) ini banyak menyentuh mengenai keistimewaan Pinang Pinang yang selesa untuk didiami selepas anda bersara.

“Antara perkara pokok disentuh adalah kemudahan, kos sara hidup berpatutan dan makanan jalanan yang umumnya menjadi tarikan utama pelancong ke negeri ini.

“Sebagai Kerajaan Negeri, pastinya kita akan terus memelihara dan memulihara aset-aset pelancongan di Pulau Pinang bagi kesinambungan di masa hadapan,” ujarnya pada sidang media Majlis Perasmian Cawangan Baru Syarikat Fuji Xerox Asia Pacific Pte Ltd. (Fuji Xerox) di sini baru-baru ini.

Fuji Xerox yang merupakan gabungan dua syarikat utama iaitu Fujifilm Holdings dan Xerox Corporation merupakan sebuah syarikat berkaitan dokumentasi, komunikasi dan perkhidmatan bertaraf global.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan Presiden Fuji Xerox Malaysia, Yoshio Hanada.

Dalam pada itu, menurut Hanada, lokasi pemilihan Bayan Baru di sini merupakan satu pilihan strategik ekoran kedudukannya di tengah negeri Pulau Pinang.

“Dengan terletaknya cawangan ini di tengah pusat perdagangan dan industri Pulau Pinang, kami (Fuji Xerox) amat berharap ia dapat memberikan perkhidmatan yang efisien dan mampu menyokong keperluan pelanggan-pelanggan yang terdiri daripada sektor industri di Bayan Lepas, Batu Maung dan Batu Kawan (Seberang Perai Selatan).

“Malah, kami (Fuji Xerox) turut berharap dapat mengembangkan perniagaan pada keuntungan berbanding sebelum ini,” ujar beliau.