SUNGAI PINANG – Ahli Parlimen (MP) Jelutong, R.S.N. Rayer telah menyumbangkan peruntukan hampir RM400,000 bagi menaik taraf infrastruktur serta kemudahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ramathasar, di sini.
Menurut Rayer, peruntukan tersebut adalah merangkumi kerja-kerja menaik taraf tembok dan pagar sekolah berjumlah RM89,400 dan pemasangan 32 unit kamera litar tertutup (CCTV) bernilai RM49,890 pada tahun 2019.
“Selain itu, turut dilaksanakan ialah kerja-kerja mengecat semula bangunan SJKT Ramathasar dan kerja-kerja berkaitan berjumlah RM48,820 pada tahun 2022 dan disusuli dengan kerja-kerja penyelenggaraan bilik Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bernilai RM28,450 pada tahun 2023.
“Turut dilaksanakan ialah kerja-kerja pembinaan jalan masuk dan keluar yang dilaksanakan pada tahun lepas dengan kos RM85,000 dan bekalan e-Card Bahasa Inggeris untuk murid-murid (RM5,000) serta kerja-kerja tambahan projek infrastruktur berjumlah RM85,000 pada tahun ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Tapak Laluan Keluar Masuk SJKT Ramathasar, dekat sini sebentar tadi.
Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Senator, Dr. R.A. Lingeshwaran; Guru Besar SJKT Ramathasar, Guru Besar SJKT Ramathasar, T. Vinod; Penolong Pengarah Unit Prasekolah dan Rendah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, M. Karthik; Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKT Ramathasar, Anilan; Pengerusi Lembaga Sekolah, Dato’ K.P.S. Murugiah dan Pengerusi Persatuan Bekas Murid, N. Selvaraju.

Dalam pada itu, Rayer menyatakan hasrat untuk menyalurkan sumbangan bagi menampung bayaran tambang bas sekolah untuk murid-murid kurang berkemampuan di kawasan Parlimen Jelutong bermula tahun hadapan.
Menurut beliau, inisiatif tersebut bertujuan meringankan beban keluarga yang berdepan kekangan kewangan, khususnya dalam memastikan anak-anak dapat hadir ke sekolah dengan lebih selesa.
“Saya dimaklumkan bahawa terdapat murid sekolah yang tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar tambang bas sekolah.
“Justeru, saya memohon pihak sekolah mengemukakan surat kepada saya dan saya akan menyalurkan sumbangan bagi menampung bayaran tambang bas sekolah untuk tahun depan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Rayer berkata pelaksanaan pelbagai projek naik taraf infrastruktur di SJKT Ramathasar membuktikan Kerajaan Perpaduan sentiasa memberi perhatian kepada pembangunan sekolah jenis kebangsaan, termasuk sekolah Tamil dan sekolah Cina.
Menurut beliau, bantuan dan peruntukan yang disalurkan tidak hanya tertumpu kepada sekolah kebangsaan semata-mata, sebaliknya turut melibatkan sekolah vernakular di seluruh negara.
“Perkara ini sekali gus menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengabaikan sekolah jenis kebangsaan di negara ini.
“Malah, ramai Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan turut menunjukkan sokongan dan menyalurkan bantuan sewajarnya kepada sekolah jenis kebangsaan,” ujarnya.
Beliau menegaskan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam memperkukuh sektor pendidikan akan terus diteruskan demi memastikan kemudahan dan kebajikan murid di semua aliran sekolah sentiasa terpelihara.
Sementara itu, Siew yang turut berucap sebelum itu merakamkan penghargaan kepada semua pihak, terutamanya wakil rakyat Kerajaan Perpaduan yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan pendidikan di negeri ini.
Lingeshwaran pula berkata kerajaan Persekutuan melalui Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil turut memperuntukkan dana yang besar setiap tahun bagi membantu pembangunan sekolah-sekolah Tamil di seluruh negara.
“Peruntukan ini amat penting kerana sebahagian besar murid yang belajar di sekolah Tamil datang daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang memerlukan sokongan tambahan dalam aspek pendidikan.
“Selain pembangunan infrastruktur, pelbagai bantuan lain turut diberikan kepada murid seperti bantuan pengangkutan, bantuan makanan dan program-program pendidikan yang dapat membantu meningkatkan pencapaian akademik mereka,” ujarnya.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: AHLI PARLIMEN