MP puas hati pematuhan SOP di Pasar Malam Sungai Dua

Admin

BATU UBAN – Ahli Parlimen (MP) Bayan Baru, Sim Tze Tzin berpuas hati dengan tahap pematuhan tatacara operasi standard (SOP) para peniaga dan pengunjung Pasar Malam Sungai Dua dekat Jalan Helang di sini. 

 

Tze Tzin yang mengadakan tinjauan di sini berharap para peniaga dan pengunjung pasar malam terus mengekalkan pematuhan SOP dan menjadikannya sebahagian daripada normal baharu bagi mengekang penularan wabak COVID-19. 

 

SIM Tze Tzin (lima dari kiri) bersama-sama A. Kumaresan (tiga dari kiri) serta ahli-ahli jawatankuasa MPKK Sungai Dua menunjukkan beg istimewa inisiatif hijau untuk diedarkan kepada para peniaga dan pengunjung di sini.

 

“Berdasarkan pemantauan yang dilakukan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Dua, saya berpuas hati dengan normal baharu yang diamalkan di sini. 

 

“Jika kita lihat, laluan masuk dikawal yang mana pengunjung perlu disaring suhu badan, mencuci tangan dan merekodkan butiran sebelum dibenarkan masuk ke pasar malam ini. 

 

“Malah, jumlah peniaga pasar malam juga dikurangkan dengan memberi keutamaan kepada penduduk tempatan sahaja,” katanya kepada pemberita sejurus melakukan tinjauan di sini 27 Jun lalu. 

 

Turut sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan; Pengerusi MPKK Sungai Dua, Zulfazdli Md. Noordin serta ahli-ahli MPKK Sungai Dua dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bayan Baru.

 

SARINGAN suhu badan di laluan masuk ke Pasar Malam Sungai Dua.

 

Menurut Tze Tzin, sejak pengumuman pembukaan sektor pasar (pasar pagi, pasar terbuka, pasar petang, pasar malam dan bazaria) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 15 Jun lalu, hanya empat lokasi pasar malam di Parlimen Bayan Baru dibenarkan beroperasi.

 

“Selain di sini (Sungai Dua), turut dibenarkan beroperasi adalah di Pantai Jerejak; Bukit Gedung dan Permatang Damar Laut.

 

“Lain-lain lokasi ada yang masih dalam senarai menunggu kelulusan dan ada yang sedang dalam proses permohonan (untuk beroperasi).



“(Dan) paling utama, para peniaga pasar malam setuju dengan syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” tegasnya yang turut menzahirkan penghargaan kepada pihak MPKK, polis dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang turut membantu dalam melancarkan urusan kawalan SOP di sini.

 

Antara syarat yang dimaksudkan adalah merekodkan nama dan nombor telefon pengunjung; lokasi perlu di kawasan terbuka dan berpagar serta hanya satu laluan dibenarkan; menjual makanan secara bawa pulang sahaja; penjarakan sosial 1 meter antara satu sama lain (pelanggan); peniaga perlu memakai pelitup muka dan sarung tangan; pemeriksaan suhu badan; pengurusan sampah kendiri dan penjarakan sosial 1.5 meter hingga 2 meter antara gerai.

 

MENYERAHKAN apron dan buku laporan kepada salah seorang peniaga pakaian kanak-kanak di sini.

 

Sementara itu, Zulfazdli ketika ditemui berkata, sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, jumlah gerai yang terdapat di Pasar Malam Sungai Dua adalah 125 gerai.

 

“Apabila ia dibenarkan beroperasi semula, jumlah gerai yang dibenarkan hanya 70 buah (gerai) sahaja dan seperti YB Sim (Tze Tzin) kata, keutamaan kepada peniaga pasar malam tempatan.

 

“Situasi di sini hari ini (27 Jun) semuanya terkawal, semua mematuhi SOP dan kalau dilihat…memang pengunjung kecil (kanak-kanak bawah 12 tahun) tidak digalakkan untuk ke sini,” katanya.

 

Terdahulu, Tze Tzin dan Kumaresan mengunjungi setiap gerai di sini bagi mengedarkan pelitup muka, apron dan beg istimewa inisiatif hijau ‘Bring Your Own Bag’ serta buku laporan Ahli Parlimen Bayan Baru sejak Pilihanraya Umum Ke-14.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI