MPC pasang panel solar atas bangunan selepas meterai perjanjian dengan TNB, Gading Kencana

Admin
MOHD. Yazid Abdul Majid (kanan sekali) diiringi Guntor Tobeng dan dua lain dalam majlis berkaitan di Kompleks MPC Wilayah Utara Semenanjung Malaysia di Bertam pada 15 Jun 2023.

BERTAM – Menyahut seruan Kerajaan Persekutuan untuk hemah berbelanja, Perbadanan Productiviti Malaysia (MPC) baru-baru ini memeterai dua perjanjian dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan firma pengendali ladang solar negara, Gading Kencana Sdn. Bhd. bagi pemasangan panel solar di dua dari tiga ibu pejabatnya termasuk dekat Bertam di sini.

Perjanjian itu membolehkan MPC menyertai Skim Sistem Permeteran Tenaga Bersih (NEM) 3.0 iaitu suatu skim yang diperkenalkan peringkat kebangsaan dengan kuota sebanyak 100 Megawatt (MW) untuk diteroka oleh semua agensi kerajaan dengan mengekalkan konsep ‘1 to 1 offset’ selama 10 tahun di samping menggunakan konsep ‘self-consumption’ selepas tempoh berkenaan.

Mengikut skim tersebut, MPC ditawarkan kuota sebanyak 500MW bagi tempoh 2021 hingga 2023.

MOHD. Yazid Abdul Majid (kanan) dan Guntor Tobeng dalam sidang media berkaitan di sini pada 15 Jun 2023.

Pengarah Divisyen Pengurusan Perkhidmatan dan Kewangan MPC, Mohd. Yazid Abdul Majid berkata, melalui skim itu membolehkan agensi persekutuan berkenaan menjimatkan bil elektrik bulanan seusai sistem solat tersebut mula beroperasi pada minggu depan.

“Proses pemasangan (panel solar) dijangka hanya mengambil masa selama satu minggu sahaja dan minggu depan, ia sudah boleh di’energize’ (dijana) dan dijual semula kepada TNB,” jelasnya dalam sidang media berkaitan di pejabat MPC Wilayah Utara Semenanjung Malaysia di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Hanafi Sakri dan Pengarah Urusan Gading Kencana, Datuk Ir. Guntor Tobeng turut sertai sidang media itu.

Buletin Mutiara difahamkan, menerusi skim NEM 3.0 membolehkan MPC mengurangkan kos operasi perniagaan dalam bentuk mendapatkan bekalan elektrik secara langsung daripada sistem solar (PV) yang dipasang di premis bangunan mereka.

Skim tersebut juga membolehkan MPC menjual lebihan tenaga elektrik daripada sistem solar PV ke sistem grid pada harga pasaran atau ‘system marginal price’ (SMP) sebagai kredit tenaga dalam bil elektrik pada bulan seterusnya.

Selain itu, skim tersebut juga membolehkan MPC melakukan ‘offset’ lebihan tenaga melalui pengagihan secara maya.

Di sini sebanyak 264 keping panel solar berkuasa 570 watt (w) dipasang di beberapa blok di seluruh kompleks berkenaan dengan kira-kira 219,683 kilowatt sejam (kWh) tenaga solar mampu dijana untuk tempoh setahun.

Pemasangan panel solar untuk pejabat kerajaan pertama di utara Semenanjung itu juga bakal menyaksikan sebanyak 2,724 jejak karbon dioksida (tCo2) dapat dikurangkan sekali gus menjadikan kompleks MPC Wilayah Utara itu sebagai bangunan rendah karbon.

Menjawab soalan pemberita, Mohd. Yazid berkata pihaknya menyasarkan penjimatan 30 peratus kos operasi perbadanan atau kira-kira RM2,000 sebulan melalui pemasangan panel solar di bangunan kompleks agensi persekutuan itu.

Sementara itu, Guntor memberitahu, kos pemasangan panel solar tersebut ditanggung oleh pelabur dan MPC hanya perlu menyediakan tapak.

“Dalam hal ini, pelaburan akan dibuat oleh pelabur swasta dan kita (Gading Kencana) akan menjual tenaga solar kepada MPC pada harga yang lebih rendah daripada tarif elektrik semasa,” ujarnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR