MPPP catat 6 kemenangan kebangsaan & antarabangsa

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN

 

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) baru-baru ini menerima anugerah khas bagi Kategori Inovasi Pihak Berkuasa Tempatan 2013 (AIPBT) Peringkat Negeri Pulau Pinang ekoran peranan proaktifnya berhubung pelaksanaan projek inisiatif pemprosesan makanan menggunakan teknologi Bio Regen di sini.

Menurut Yang di-Pertua (YDP) MPPP, Datuk Patahiyah Ismail, di Malaysia, MPPP telah menjadi perintis dalam penganjuran program berkaitan dengan menggunakan teknologi eco-friendly iaitu mesin penukaran sisa makanan menjadi baja bio cecair.

“Melalui program ini, sisa makanan yang telah dijana oleh populasi penduduk membabitkan kawasan seliaan MPPP dapat dikurangkan.

“Ia bukan sahaja menjimatkan kos, tetapi, mencapai matlamat zero waste dengan mengurangkan jumlah penghasilan sisa makanan bermula dari peringkat sumber,” ujarnya ketika mengumumkan kemenangan tersebut setelah selesai Mesyuarat Biasa Majlis di Dewan Bandaran, Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Pengiktirafan tersebut membolehkan MPPP menerima sijil penyertaan, plak dan wang tunai sebanyak RM3,000.

Turut serta, Setiausaha Perbandaran, Ir. Ang Aing Thye, Pengarah Rekreasi, Pelancongan dan Perhubungan Antarabangsa, Mohamed Akbar Mustapha dan Ahli-ahli Majlis MPPP.

Pada majlis sama, Patahiyah turut mengumumkan lima pencapaian anugerah kategori berbeza yang turut dimenangi Majlis pada tahun ini.

Antaranya, beliau memberitahu, Anugerah Inovasi Teknologi Maklumat (Naib Johan), Anugerah Bandar Mampan 2013, Anugerah Medan Selera Bersih, Selamat dan Sihat Peringkat Kebangsaan (Johan), Kempen Tandas Bersih 2014 (Johan) dan Naib Johan pada Kejohanan Paintball Piala Dunia Asia yang berlangsung di Langkawi, Kedah baru-baru ini.

“Anugerah-anugerah pencapaian ini membuktikan komitmen Majlis dalam melaksanakan agenda dan membudayakan inovasi di Pulau Pinang,” ujar beliau.