MPPP digesa pantau peniaga haram Padang Kota Lama

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

PENGKALAN KOTAPengerusi Persatuan Peniaga Medan Renong, Padang Kota Lama menggesa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) supaya menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi memantau kegiatan peniaga-peniaga haram yang mengambil kesempatan menjalankan perniagaan di sekitar sini.

Pengerusinya, Mohamed Hussain Mohd. Sheriff berkata, walaupun tidak ‘suka’ dengan tindakan MPPP memindahkan para peniaga ke Medan Selera Renong pada 1 September 2003, mereka (para peniaga) akur dengan arahan terbabit.

“Walaupun perniagaan agak perlahan pada peringkat permulaan ekoran lokasi yang agak terpencil, namun, selepas lima enam tahun, perniagaan adalah semakin baik.

“Namun, kini perniagaan terjejas teruk ekoran tindakan peniaga-peniaga yang sebahagiannya adalah warga asing berniaga secara haram di luar medan selera,’’ katanya pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Isu peniaga Medan Selera Renong memperoleh perhatian apabila kumpulan peniaga haram mengadakan demonstrasi berhubung tindakan MPPP menghalang pihak berkenaan menjalankan perniagaan di lokasi tersebut. Peniaga asal Medan Selera Renong merupakan anak jati negeri yang menjalankan perniagaan sejak tahun 1960-an.

Tambah Mohamed Hussain, beliau serta para peniaga di sini membayar sewa antara RM128 hingga RM138 (bergantung kepada jenis perniagaan) kepada pihak Majlis setiap bulan.

“Ambil tindakan jika mereka ingkar. Kalau tidak boleh berniaga di luar, letakkan papan tanda dan sebagainya.

“Jika nak bagi kebenaran, kami pun nak berniaga di luar dan sila beri kebenaran dan keutamaan lessen kepada kami dahulu,’’ tegas beliau.

Lanjutan itu, beliau turut menuntut jaminan MPPP sebelum ini bahawa tidak akan ada peniaga haram di kawasan tersebut ketika proses perpindahan yang berlangsung sembilan tahun lalu.

MOHAMED Hussain Mohd. Sheriff (berkopiah) bersama-sama peniaga Medan Selera Renong pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.
MOHAMED Hussain Mohd. Sheriff (berkopiah) bersama-sama peniaga Medan Selera Renong pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.