Pesakit strok mohon bantuan rawatan

SALEHIN Mohamed (kiri sekali) ketika mengadakan kunjungan ke kediaman Chew Goay Choo (duduk) di Taman Telok Air Tawar di sini baru-baru ini.
SALEHIN Mohamed (kiri sekali) ketika mengadakan kunjungan ke kediaman Chew Goay Choo (duduk) di Taman Telok Air Tawar di sini baru-baru ini.

TELOK AIR TAWARPrihatin dengan nasib seorang warga emas, Chew Goay Choo, 74, yang tidak mempunyai ahli keluarga terdekat dan mengidap penyakit angin ahmar, Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Telok Air Tawar kini dalam usaha mendapatkan bantuan kewangan bagi rawatan bulanannya di sini.

PPK terbabit, Salehin Mohamed ketika melawat Goay Choo di kediamannya di Taman Telok Air Tawar di sini menyatakan bahawa beliau perlu menjalani rawatan secara bulanan di hospital.

“Kos rawatan angin ahmar adalah sangat tinggi dan rawatan pemulihan bagi pesakit mencecah sehingga RM100,000 setahun selain memerlukan tempoh masa yang panjang untuk pulih.

“Memandangkan beliau tidak mempunyai keluarga dan kini menetap di rumah jiran, kami (Pusat Khidmat PPK Telok Air Tawar) akan cuba bantu mendapatkan sumbangan atau bantuan kewangan bagi rawatan bulanannya,” ujar Salehin yang hadir memberi bantuan peribadi kepada Goay Choo di sini baru-baru ini.

Sementara itu, dalam lawatan berasingan , Salehin turut menyumbangkan hamper keperluan makanan asas kepada warga emas, Bashah Hamid, 73, di Jalan Tunku Putra di sini.