MPPP lancar SPPB secara atas talian

Oleh :AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : MARK JAMES

 

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) baru-baru ini melancarkan Sistem Pengurusan Pelan Bangunan (SPPB) atas talian bagi memudahkan ‘Orang Utama Yang Mengemukakan’ atau Principal Submitting Person (PSP) mengemukakan pelan bangunan secara elektronik.

Yang di-Pertua MPPP, Dato’ Patahiyah Ismail ketika ditemui berkata, sistem tersebut direka bagi tujuan pemantauan dan pengurusan pelan bangunan supaya ia dapat dibuat secara lebih teratur serta efisien selain memastikan proses yang dijalankan adalah lancar dan sistematik.

“Sistem SPPB ini hakikatnya memudahkan proses permohonan pelan bangunan bagi sesuatu projek yang ingin atau sedang dijalankan.

“Di samping ia (sistem) akan meningkatkan ketelusan dalam proses permohonan tersebut.

“Saya percaya melalui aplikasi mudah ini, PSP, pemain industri dan pihak Majlis sendiri dapat berinteraksi antara satu sama lain dalam meningkatkan produktiviti sama ada dari segi pendapatan mahupun masa,” katanya pada Majlis Pelancaran SPPB di sini baru-baru ini.

SPPB secara atas talian direka oleh syarikat Mesiniaga Berhad dan kini sedang menjalani tempoh percubaan selama setahun sehingga Julai 2015 sebelum digunakan secara total selepas tempoh berkenaan.

Bagi Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, sebelum ini pihaknya dan MPPP ada menerima aduan daripada pemain industri tentang tempoh memproses sesuatu permohonan pelan bangunan.

“Sebelum ini, wujud kekangan untuk memantau proses permohonan pelan bangunan sama ada untuk mengetahui status permohonan mahupun kelulusan pelan bangunan.

“MPPP juga tidak dapat mengumpul statistik pembangunan dan menyampaikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan. “Namun, dengan adanya sistem ini, ia dapat mengatasi masalah yang dibangkitkan oleh PSP dan pemain industri, iaitu sama ada isu tempoh masa kelulusan permohonan, ketelusan serta mobiliti,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian berkaitan.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran, Ir. Ang Aing Thye, Pengarah Bangunan MPPP, Ar. Yew Tung Seang serta wakil-wakil MPPP dan Mesiniaga Berhad.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai SPPB, sila layari laman sesawang MPPP, www.mppp.gov.my atau http://sppb.mppp. gov.my}