Sedia khidmat & kemudahan awam taraf antarabangsa tingkat kualiti hidup rakyat – KM

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN

 

PADANG KOTA– Kerajaan Negeri berhasrat menyediakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan awam bertaraf antarabangsa bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat Pulau Pinang antaranya melalui program hijau dan taman.

Kenyataan tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada Majlis Pelepasan Peserta Program City Walk 2015 di sini baru-baru ini.

“Bagi rekod 2014, MPPP berjaya menyediakan enam taman kejiranan dan taman poket (4) untuk kemudahan riadah dengan dilengkapi alat senaman luar serta permainan kanak-kanak.

“Antara taman-taman kejiranan terlibat adalah Taman Kejiranan Batu Uban, Taman Kejiranan Sungai Ara Mk 12 Bayan Lepas, Taman Kejiranan Lorong Nipah 3 Bayan Lepas, Taman Kejiranan Lintang Pantai Jerejak Sungai Nibong, Taman Kejiranan Taman Pekaka dan Taman Kejiranan Iping Batu Maung.

“Taman poket pula adalah meliputi Taman Jajar Sungai Nibong Kechil, Taman Bukit Gedong, Taman Bayan Indah 3 dan Taman Jalan Choi Balik Pulau bagi membolehkan penduduk sekitar bersenam serta beriadah,’’ jelasnya.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan Yang di-Pertua MPPP, Dato’ Patahiyah Ismail.

City Walk 2015 (City Walk) merupakan program yang memerlukan para peserta berjalan kaki sejauh 5 kilometer (km) mengelilingi lokasi warisan George Town.

Mengulas lanjut berhubung penganjuran City Walk, Guan Eng menyatakan bahawa penyertaan tahun ini (2015) telah memecah rekod dua tahun (penganjuran) sebelum ini.

“Ketika penganjuran pertama City Walk dua tahun lalu, ia hanya memperoleh 4,000 penyertaan.

“Pada tahun lepas, jumlah penyertaan meningkat kepada 7,000 peserta dan tahun ini (2015), 10,000 orang.

“Sambutan meriah ini adalah selari dengan usaha Kerajaan Negeri untuk memperbanyakkan program berteraskan Pulau Pinang yang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat,’’ ucap beliau.