Pelajar terpilih Kg. Melayu terima bantuan persekolahan

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : SHUM JIAN WEI

AIR ITAM – Seramai 120 pelajar Kampung Melayu di sini dipilih menerima bantuan persekolahan hasil sumbangan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai dan Zakat Pulau Pinang (ZPP) sempena Program Kembali Ke Sekolah baru-baru ini.

Hon Wai dalam ucapannya berkata, sumbangan dilaksanakan saban tahun itu diharap dapat mengurangkan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.

“Bantuan ini adalah untuk mengurangkan beban ibu bapa.

“Tambahan pula, tahun ini (2015) pelaksanaan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) yang bakal dilaksanakan akan menambah beban buat semua.

“Sedikit-sebanyak, bantuan pakaian dan beg sekolah yang disumbangan ini dapat meringankan belanja persekolahan para ibu bapa,” ujarnya ringkas sebelum menyempurnakan majlis sumbangan berkaitan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan beberapa anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kampung Melayu.

Serentak itu, turut dimaklumkan Hon Wai adalah kira-kira 450 pakaian persekolahan telah diagihkan sebelum itu membabitkan beberapa siri program sepanjang cuti persekolahan lalu di keseluruhan Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam.