MPPP & PDRM banteras ulat parkir haram

Admin

GEORGE TOWN – Kehadiran ulat parkir haram yang mengambil kesempatan memungut wang daripada orang ramai semakin berleluasa walaupun Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah memperkenalkan sistem kupon meletak kenderaan baru-baru ini di sini.

Ekoran itu, satu operasi besar-besaran melibatkan Pihak Penguatkuasa MPPP dengan kerjasama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diadakan barubaru ini membabitkan tiga pasukan meliputi 13 kawasan operasi keseluruhannya.

Ahli Majlis merangkap Pengerusi Gantian Tetap Penguatkuasaan dan Pendidikan Awam MPPP, Dr. Tan Kim Hooi berkata, inisiatif tersebut adalah operasi pertama melibatkan pihak penguatkuasa Majlis dan PDRM.

“Kami dapati bahawa bilangan ulat parkir haram ini telah meningkat sejurus MPPP memperkenalkan sistem kupon parkir baru,” ujarnya selepas operasi membanteras ulat parkir haram di sekitar bandar George Town baru-baru ini di sini.

Operasi selama lima jam tersebut berjaya memberkas dua atendan parkir haram yang masing-masing ditahan di Lebuh Duke dan Lebuh Pantai di sini.

Dalam pada itu, Ahli Majlis MPPP, Joseph Ng Soon Siang menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak sewenangnya membeli kupon parkir daripada ulat parkir haram berkenaan.

“Mereka (atendan parkir haram) akan menawarkan kupon dengan harga lebih mahal yang mana kita (MPPP) tidak sama sekali menyokong serta bertolak ansur atas perbuatan tersebut.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak sewenangnya membeli kupon dengan individu-individu ini,” tegas beliau.