MPPP tidak turunkan Jalur Gemilang – Patahiyah

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWNMajlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menolak sekeras-kerasnya dakwaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow berhubung dakwaan beliau bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit telah menurunkan ratusan Jalur Gemilang di sepanjang Jalan Bagan Jermal dan Jalan Gottlieb di sini baru-baru ini.

AR. Patahiyah Ismail.
AR. Patahiyah Ismail.

Yang Dipertua Majlis, Datuk Ar. Patahiyah Ismail dalam satu kenyataan akhbar berkata, dakwaan tersebut adalah satu fitnah jahat yang cuba memburukkan imej dan integriti MPPP.

“Dakwaan beliau merupakan satu fitnah berniat jahat yang cuba memburukkan imej dan integrity MPPP yang selama ini setia kepada Negara dan Jalur Gemilang.

“Tindakan penguatkuasaan hanyalah melibatkan penurunan bendera parti politik kerana tidak mempunyai permit,’’ katanya di sini baru-baru ini.

Tambah Patahiyah, MPPP tidak pernah dan tidak akan sekali-kali menurunkan bendera Jalur Gemilang yang merupakan lambang Negara Malaysia.

“Tindakan yang dijalankan MPPP ke atas semua pemasangan bendera parti politik adalah tanpa mengira mana-mana pihak (parti politik).

“Tindakan penguatkuasaan tersebut adalah bermula dari kawasan Jalan Tanjung Tokong, Jalan Gottlieb, Jalan Paya Terubong dan Jalan Balik Pulau. Namun, Majlis tidak pernah menurunkan sebarang bendera Jalur Gemilang semasa tindakan penguatkuasaan terbabit,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Patahiyah menyifatkan bahawa serangan peribadi ke atas beliau oleh Chang Yeow adalah untuk meraih publisiti murahan.

“Teng (Chang Yeow) tidak seharusnya melibatkan penjawat awam dalam arena politik apabila kami dalam MPPP bersikap professional dan berkecuali (neutral) dalam menjalankan tugas,” tegas Patahiyah lagi.