PR laksana 4 teras baiki taraf hidup kaum India

Oleh: MOHD. HAFIZ TAJUDIN

JAWIDalam tempoh empat tahun, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang telah melaksanakan empat teras utama untuk memperbaiki taraf hidup masyarakat berketurunan India di sini.

Kenyataan tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika hadir merasmikan Hindu Empowerment Talk di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Tan Beng Huat dan ADUN Sungai Bakap, Maktar Shapee.

Guan Eng memberitahu, empat teras dinyatakan adalah meliputi aspek agama, kebajikan, pendidikan dan pekerjaan.

“Pada aspek agama, Kerajaan Negeri telah menyumbang sebidang Tanah berhampiran Taman Botani di sini dan RM400,000 untuk pembinaan Kuil Murugan terbesar di luar negara India dengan jumlah 512 anak tangga, mengatasi kuil di Batu Caves di Selangor dengan hanya 272 anak tangga.

“Kita dapat menyiapkan kuil ini hanya dalam empat tahun berbanding kerajaan sebelum ini (Kerajaan Barisan Nasional), sudah 10 tahun masih belum siap,” tegasnya di sini.

Dalam itu, pada aspek kebajikan, beliau menyatakan bahawa dalam usaha menjaga kebajikan masyarakat India di negeri ini, Kerajaan Negeri juga telah memberikan sebuah kediaman rasmi milik Kerajaan Negeri (pejabat Kelab Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan, MAKSAK) di Jalan Macalister di sini sebagai pejabat operasi Lembaga Wakaf Hindu.

“Pada aspek pendidikan, peruntukan sebanyak RM1.75 juta turut diperuntukkan kepada 28 buah sekolah Tamil di seluruh negeri setiap tahun.

“Malah, sebidang tanah juga telah disumbangkan untuk pembangunan semula Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Azad yang mana sebelum ini para pelajar sekolah terbabit belajar di dalam sebuah kontena dan terpaksa berendam dalam lumpur apabila hujan,’’ jelasnya.

Tidak terkecuali, tambah Guan Eng adalah pada aspek pekerjaan yang mana pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) turut menyediakan banyak peluang pekerjaan untuk masyarakat India di Pulau Pinang.

PROF. Dr. P. Ramasamy dikalungkan bunga malai sebagai penghormatan ketika Majlis Perasmian Hindu Empowerment Talk di sini baru-baru ini.
PROF. Dr. P. Ramasamy dikalungkan bunga malai sebagai penghormatan ketika Majlis Perasmian Hindu Empowerment Talk di sini baru-baru ini.