MPSP ambil alih operasi bersih sasar jimat dana

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG PERAI – Pengambilalihan semula operasi mengutip sampah dan kerja-kerja pembersihan secara berperingkat mulai awal tahun ini diharap dapat menjimatkan sumber dana Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Menurut Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif, sebanyak RM74 juta atau 32 peratus daripada keseluruhan RM227 juta bajet MPSP pada tahun ini (2014) diperuntukan untuk kerja-kerja mengurus operasi pembersihan di Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

“Di Bandar Kawasaki (dekat Jepun), hanya 4 peratus daripada bajet (pihak berkuasa tempatan, PBT) diperuntukan untuk kerjakerja pembersihan.

“Kita, 32 peratus…usaha menjimatkan sumber ini boleh berjaya jika mendapat kerjasama pelanggan (orang awam).

“(Atas maksud itu,) dari jumlah asal sebanyak 55 kontraktor, kita telah tamatkan 23 (kontraktor) secara berperingkat,” jelasnya dalam majlis khusus kepada wartawan di Kompleks Ibu Pejabat MPSP, Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Demi menguruskan operasi pembersihan di Seberang Perai, katanya lagi, MPSP mengambil kira-kira 500 kakitangan baru dan akan mengambil 335 lagi pekerja untuk mencukupkan bilangan 2,469 kakitangan PBT itu pada hujung tahun ini.

“Seramai 335 lagi akan ditemuduga dan diambil dalam pertengahan bulan Ogos – Disember ini,” jelas Maimunah.

Difahamkan, MPSP bertanggungjawab mengurus kebersihan di ketiga-tiga daerah yang berkeluasan 738 kilometer persegi (KM²).

Dari keseluruhan kira-kira 897,600 warga Seberang Perai, 295,082 orang direkodkan sebagai pelanggan yang membayar cukai kepada MPSP pada tahun lepas.

“Sebagai PBT, jika masalah sampah, longkang, rumput (panjang) dan lampu jalan boleh diselenggara (secara) paling baik, MPSP akan memenuhi mutu pelanggan,” jelas beliau.