Hanif Azmir, Awatif juara Tilawah Al-Quran

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD

BERTAM – Qari Hanif Azmir Hassim dan qariah Awatif Abdul Majid menjuarai kategori masing-masing pada Tilawah Al-Quran Kali Ke-57 Tahun 1435H/2014M Peringkat Negeri yang berlangsung di Dewan Millenium di sini baru-baru ini.

Qari dan qariah itu masing-masing menerima tiket umrah ke Makkah, RM4,000 wang tunai, piala, cenderamata serta sijil penyertaan yang disampaikan sendiri oleh Yang Di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Sohibus Samahah Datuk Seri Hassan Ahmad (Mufti Negeri), Datuk Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri), Datuk Abdul Walid Abu Hassan (Ketua Hakim Mahkamah Sharie Pulau Pinang) dan Datuk Mohd. Salleh Man (Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, MAINPP) turut hadir pada majlis selama dua malam itu.

Hanif Azmir yang juga Imam Masjid Negeri semasa ditemui kemudian melahirkan rasa bersyukur kerana sekali lagi dipilih sebagai juara menunggu kategori lelaki.

“Ini adalah rezeki daripada Allah… sudah lama Pulau Pinang tidak memenangi tilawah peringkat kebangsaan, kita harap kali ini kita ada peluang,” ujar Hanif Azmir, berharap pihak berwajib terus menggalakkan pengajian al-Quran dalam kalangan kanak-kanak di negeri ini.

Nada yang sama turut diluahan oleh Awatif, yang masih menuntut di sebuah universiti dekat Kelantan.

“Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk menjadi tetamu Baitullah. Alhamdulillah, Allah memberi peluang untuk saya memenangi tilawah kali ini, walaupun bagi saya semua peserta qari dan qariah kali ini sama hebat,” jelasnya.

Difahamkan, tujuh qari dan tujuh qariah menyertai tilawah Al- Quran selama dua hari pada kali ini Qari, Hanif Azmir Hassim selaku Johan Menunggu, Mujahidin Syahid Nasruddin (mewakili Daerah Timur Laut), Mohamad Shahrin Baharuddin (mewakili Daerah Barat Daya), Mohd. Fadzil Ismail (mewakili Daerah Seberang Perai Tengah), Mazlan Wan Chik (mewakili Daerah Seberang Perai Selatan), Mustaffa Muhamad (mewakili Daerah Seberang Perai Selatan) dan Muhammad Siddiq Mohd. Rosli (mewakili Daerah Seberang Perai Utara).

Qariah pula, Nor Husna Mohammad Salleh – Johan Menunggu, Sakinah Ahmad (mewakili Daerah Timur Laut), Awatif Abd. Majid (mewakili Seberang Perai Tengah), Rozilah Jamaluddin (mewakili Seberang Perai Selatan), Aminah Mohd. Ali (mewakili Seberang Perai Selatan), Nor Haseena Mahjub (mewakili Seberang Perai Selatan) dan Che Noliah Saidin (mewakili Seberang Perai Utara).

Sementara itu, Mohd. Rashid pada perasmian pembukaan tilawah al-Quran menasihatkan semua pihak tanpa mengira faham politik supaya kembali menghayati akhlak al-Quran, antaranya, meninggalkan budaya saling memfitnah serta berdendam.

“Marilah bersama-sama kita melenyapkan perasaan yang boleh menghalang nikmat ukhwah Islamiah yang juga dianggap sebagai ‘akhlak al-Quran’, yang berpunca oleh sifat dengki, rasa mahu membalas dendam dan fitnah mana-mana pihak,” ujarnya di depan lebih 2,000 hadirin pada hari pertama penganjuran majlis tersebut.

Menurut Mohd. Rashid, majlis tilawah al-Quran kali ini akan lebih bermakna sekiranya seluruh hadirin tekun menghayati inti ayat-ayat suci al-Quran yang diperdengarkan semua peserta tilawah al-Quran.

“Pemilihan tema ‘al-Quran Mengukuh Ukhwah, Memartabat Ummah’ dipilih oleh Kerajaan Negeri.

“Tema ini adalah sangat signifikan untuk kita kembali kepada ‘akhlak al-Quran’,” katanya sambil membahaskan pengajaran daripada ayat 10 dari Surah al-Hujuraat.