MPSP anjur Pertandingan Kebun Kejiranan, iktiraf inisiatif hijau dilaksana komuniti

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) buat julung kalinya menganjurkan Pertandingan Kebun Kejiranan kawasan Seberang Perai bagi mengiktiraf inisiatif-inisiatif hijau yang dilaksanakan komuniti dalam menjaga kualiti alam sekitar.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri (TYT) Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Tun Dr. Abdul Rahman Abbas menerima mesin kompos EFWC yang diinovasikan oleh MPSP dan UPSI.

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, program kebun kejiranan merupakan satu usaha untuk menggalakkan penjanaan kebersihan dan penghijauan melalui penglibatan komuniti selain mampu menjana pendapatan.

“Melalui program ini, penduduk digalakkan menanam sayur-sayuran di dalam kawasan seluas 3,000 ekar atau kurang.

“Setiap komuniti yang mengambil bahagian dalam pertandingan ini akan diberikan kompos seberat 50 kilogram (kg) sebagai insentif bagi menggalakkan mereka menanam sayur-sayuran secara organik.

“Justeru, adalah diharapkan tanah-tanah lapang yang terbiar di sekitar Seberang Perai boleh diusahakan sebagai kebun kejiranan melalui pertandingan ini,” katanya semasa berucap pada majlis berkaitan dekat Ibu Pejabat MPSP sebentar tadi.

Hadir sama, barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod; Ahli-Ahli Majlis bagi MPSP; Pegawai Daerah, Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah, Kamarul Haizal Koderat; Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin serta ramai lagi.

Difahamkan, antara kriteria pemilihan dinilai berdasarkan pemantapan pengurusan ladang, produktiviti yang baik, penggunaan teknologi, pengalaman pertanian baik, pemasaran, keadaan fizikal projek dan aspek-aspek berkaitan.

Pada majlis itu juga, Abdul Rahman turut menerima sebuah mesin kompos Economical Food Waste Composter (EFWC) yang diinovasikan oleh MPSP dengan kerjasama UPSI untuk digunakan di Seri Mutiara.

Mengulas mengenai perkara itu, Rozali berkata, kesudian Abdul Rahman melaksanakan pengkomposan sisa makanan di kediaman beliau menunjukkan sikap prihatin pemimpin tertinggi di negeri ini dalam menjaga alam sekitar.

“Kesudian ini memberi teladan dan inspirasi kepada rakyat untuk melaksanakan kompos sisa organik di kediaman masing-masing,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS