MPSP bakal wajib tanam pokok

soonlimchee

SOON Lip Chee (tengah, kemeja biru) bersama sukarelawan
menunjukkan botol-botol yang dikumpul untuk dikitar semula
di bawah gerak kerja LA 21 di sini baru-baru ini.

Oleh: MOHD. HAFIZ TAJUDIN

BUKIT TENGAH – Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Soon Lip Chee menyeru badan-badan korporat untuk mengambil
bahagian dalam projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah gerak kerja Local Action 21 (LA21) sebagai satu medium mendekatkan masyarakat dengan alam sekitar.

Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Kerja LA21 Mesra Alam MPSP berkata, sehingga kini, antara syarikat yang terlibat adalah Tambun Indah Sdn. Bhd. yang menyumbang sebanyak 4,000 pasu bunga bagi ditempatkan di kawasan perumahan bawah seliaan mereka Jun lalu di sini.

“Selain itu, turut terlibat adalah Syarikat Guppy Plastic Industries Sdn. Bhd. (Guppy Plastic) yang menyumbang 2,000 pasu bunga
bagi program keceriaan di Jalan Ong Yi How, Butterworth di sini.

“Terbaru, mereka (Guppy Plastic) juga terlibat dengan pelaksanaan di lokasi projek kelima Projek di Taman Bayu Mutiara di sini,’’ katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

LA21 merupakan satu Pelan Tindakan Global menekankan aspek sosial dan ekonomi serta pemeliharaan serta pengurusan sumber untuk pembangunan yang mampan.

Pelan tersebut dicetuskan ketika Sidang Kemuncak Bumi (Earth Summit) Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang berlangsung di Rio de Jeneiro, Brazil pada tahun 1992.

Lip Chee memberitahu, bagi memperhebatkan inisiatif tersebut, MPSP menyasarkan setiap rumah atau rumah kedai yang siap dibina di Seberang Perai diwajibkan menanam pokok di dalam pasu hasil sumbangan pihak-pihak berkaitan.

“Pokok, tanah dan baja disediakan MPSP dan proses pemantauan dijalankan enam bulan selepas itu.

“Sekiranya pokok-pokok terbabit dijaga dengan rapi, tajaan kedua akan diberikan kepada premis tersebut,” jelas beliau.