MPSP berazam jadikan Seberang Perai bandar pintar & rendah karbon

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kini giat untuk menjadikan Seberang Perai sebagai sebuah bandar pintar dan rendah karbon menjelang tahun 2022.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, visi tersebut mampu dicapai sekiranya MPSP dapat menyediakan perkhidmatan perbandaran, perancangan pembangunan dan infrastruktur yang cekap, berkesan dan responsif mengikut kehendak komuniti di Seberang Perai.

“Bersempena bulan meraikan Sambutan Hari Majlis Ke-44 pada 28 Julai ini MPSP dengan azam baru mahu menjadikan Seberang Perai lebih inklusif, lebih berdaya tahan, hijau, kompetitif dan bandar pintar yang dipacu oleh teknologi.

“Dengan adanya visi dan misi yang jelas, saya yakin Seberang Perai akan menjadi sebuah bandar yang rendah karbon dan bandar pintar menjelang 2022 yang secara tidak langsung akan menjimatkan perbelanjaan penduduk sebanyak RM23 bilion,” katanya semasa berucap pada majlis Perhimpunan Korporat MPSP kali kedua di perkarangan lobi menara MPSP dekat Bandar Perda di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod; Ketua-ketua Jabatan dan Penolong Pengarah; Pegawai-pegawai Kanan; Ahli-Ahli Majlis bagi MPSP serta seluruh kakitangan MPSP.

Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) MPSP, Datin Che Limah Ujang; Pengerusi ANULE Seberang Perai, Tahir Othman; Naib Yang Dipertua PERMAI, Mohamad Nizam Md. Shariff dan Pengerusi KOSPEMA, Latifah Razali juga turut sertai majlis berkaitan.

Dalam ucapannya, Rozali turut menyentuh tentang pelbagai kejayaan yang dicapai oleh MPSP sama ada di dalam negara bahkan di peringkat antarabangsa.

Antaranya, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berjaya menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records kerana menjadi Agensi Kerajaan pertama yang menerima tujuh Pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti (ISO).

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kakitangan MPSP untuk membawa bekas air sendiri dalam program-program luar atau mesyuarat dalaman sebagai teladan kepada penduduk Seberang Perai untuk meninggalkan tabiat menggunakan bekas plastik dan straw.

“Langkah ini bertujuan untuk menyokong hasrat Kerajaan Negeri bagi mencegah penggunaan straw dan plastik pakai buang yang boleh menjejaskan hidupan laut.

“Marilah kita sama-sama mentransformasikan fikiran dan tindakan kita demi kelestarian hari esok,” ujarnya lagi yang turut menzahirkan ucapan tahniah kepada 43 orang kakitangan yang menerima pingat sempena Sambutan Ulang Tahun ke-80 Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dr. Abdul Rahman Abbas baru-baru ini.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NORAZIS