MPSP hargai Pengakap, JPN anjur program kitar semula

Oleh: AHMAD ARAFAT ESAH

BUKIT MERTAJAM – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dengan kerjasama Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) menganjuran program kitar semula yang dikenali sebagai Clean Up The World.

Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Shariff berkata, program itu adalah kelangsungan pada usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan untuk mengurangkan keterhasilan sisa sampah terkumpul yang direkodkan kian bertambah tiap-tiap tahun.

“Negeri ini menyaksikan pertambahan penduduk yang tinggi (hingga) menyumbang pada pertambahan jumlah tan sampah setiap tahun,” ujar beliau sambil merakamkan penghargaan atas inisiatif penganjur.

Hadir bersama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Datuk Kader Md. Nor, Zulklafi Kamaruddin (Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Pulau Pinang) dan Ong Shy Hann (Pengarah Penganjur).

Maimunah mendedahkan, sebanyak 287,062 tan sampah telah dihasilkan isi rumah sepanjang bulan Januari hingga Ogos, tahun ini.

Impaknya, beliau berkata, MPSP membelanjakan sebanyak kira-kira RM5.8 juta (RM5,798,658.46) bagi kos penyelenggaraan sisa pepejal yang berpengkalan di Pulau Burong dekat Seberang Perai Selatan.

Itu, katanya, tidak termasuk RM 330,000 kos pengurusan sisa pepejal di Ampang Jajar.

Justeru, beliau berkata, semua pihak wajar mengamalkan posisi kebersihan di kawasan masing-masing, lengkap dengan usaha untuk mengurangkan keterhasilan sisa sampah.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengumumkan kejayaan MPSP mencapai 32 peratus kitar semula dalam tempoh masa Januari hingga Ogos tahun ini.