SMSTSSS lancar Eco Rangers masyarakat cegah denggi

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT MERTAJAM – Lebih 70 pelajar dan guru dari Sekolah Menengah Sains Tun Syed Syeikh Sahabuddin (SMSTSSS) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) melancarkan program Eco Rangers di Flat Taman Permata, di sini.

Pengetuanya, Jamaludin Yaacob berkata, inisiatif itu demi memastikan kawasan persekitaran taman serta sekolahnya bebas dari pembiakan nyamuk aedes dan wabak denggi.

“Kita akan menjalinkan tenaga beberapa pihak seperti sekolah, persatuan penduduk, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan MPSP bagi mewujudkan kesedaran betapa penting kesihatan seperti negara-negara moden.

“Di sekolah juga, macam-macam kita lakukan dan kita bersama MPSP menyertai Green School dengan motto kita, iaitu ‘Bersih, Hijau dan Cemerlang’,” ujar beliau pada majlis perasmian program di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, pengerusi persatuan penduduk penduduk setempat turut merakam penghargaan kepada pihak sekolah, MPSP, JKN kerana berganding bahu membersihkan kawasan taman berkenaan. Jamaluddin berkata, program seumpama itu merupakan kali pertama dianjurkan oleh pihak sekolah.

“Program seumpama ini pertama kali dilakukan dan kita (SMSTSSS) akan menjadi pemangkin pada projek Eco Rangers Sekolah MPSP.

“Saya bagi pihak sekolah, (saya) merakam ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, budaya gotong-royong yang menjadi salah satu identiti Melayu kian luntur, khususnya di kawasan bandar.

“Gotong-royong dianggap tradisi sosial yang wajar dikekalkan dan merupakan salah satu budaya Melayu.

“Sekarang, amalan gotong-royong makin luntur akibat kedudukan sosial, terutama di kalangan orang yang sibuk mengejar materialistik,” ujar beliau.

Justeru, katanya, program Eco Rangers yang dianjurkan oleh MPSP di peringkat sekolah sekaligus mampu memupuk kembali budaya murni itu.