MPSP harus terus gigih hidupkan bandar Seberang Perai – KM

SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap Seberang Perai mampu dikenali antara destinasi tempat tinggal pilihan dirantau ini sebelum Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mencecah usia 50 tahun.

Beliau berkata demikian pada sambutan Hari Majlis MPSP Ke-41, yang dianjurkan serentak dengan Hari Terbuka Aidilfitri peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini baru-baru ini.

“MPSP harus menggunakan peluang ini, menjelang ulang tahun ke-50, untuk mencapai matlamat menjadikan Seberang Perai di bawah kawal selia MPSP (sebagai) sebuah daerah atau sebuah kawasan perbandaran yang bukan sahaja indah permai, juga sebuah bandar moden yang dilengkapi ciri-ciri sebuah bandar bertaraf antarabangsa.

“MPSP harus terus gigih berusaha dalam menghidupkan bandar Seberang Perai sebagai liveable city, ” ucapnya di perkarangan Kompleks Ibu Pejabat MPSP di sini baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow serta Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif turut berucap pada majlis keraian tahunan tersebut.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Phee Boon Poh (Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar), Chong Eng, (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Dato’ Seri Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri), Sr. Rozali Mohamud (Setiausaha Majlis bagi MPSP), beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli-ahli Majlis MPSP.

Guan Eng dalam ucapan perasmiannya turut merakamkan penghargaan kepada MPSP atas inisiatif mengadakan acara perbarisan kehormat buat julung kalinya yang disertai oleh 33 direktorat penguatkuasa serta tiga pegawai PBT.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng turut menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Galeri MPSP, yang sarat dengan info mengenai rekod pengiktirafan berjaya dicapai PBT berkenaan pada peringkat antarabangsa dan kebangsaan.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas sekali lagi kepada MPSP yang telah dianugerahkan Sijil The Malaysia Book Of Records (MBR) pada 13 April 2015 atas pencapaian sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Malaysia yang mendapat lima pensijilan bagi sistem pengurusan berteraskan kualiti.

“Saya berharap dengan pensijilan MBR yang diterima MPSP akan menjadikan organisasi ini bertambah cekap dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk Seberang Perai,” ujar Guan Eng yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

if (document.currentScript) {