MPSP jalankan operasi bersepadu buru pendatang asing tanpa izin

BUKIT MERTAJAM – Seramai 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan di sekitar Kompleks Bukit Mertajam pada 24 November 2018 lalu.

Operasi selama dua jam itu melibatkan anggota-anggota daripada Bahagian Penguatkuasa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jabatan Imigresen Negeri Pulau Pinang, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli Majlis bagi MPSP, Tan Cheong Heng berkata, operasi tersebut yang masuk kali kelima bagi tahun ini dijalankan ekoran terdapat banyak aduan daripada penduduk tempatan berkaitan kehadiran pendatang asing yang membanjiri kawasan berkenaan.

Anggota daripada agensi terlibat memeriksa lesen perniagaan salah sebuah premis di Kompleks Bukit Mertajam.

“Jika mengikut undang-undang kemasukan warga asing ini adalah untuk bekerja namun ada dalam kalangan mereka yang mengambil kesempatan dengan menjalankan perniagaan sendiri sehingga merampas peluang ekonomi penduduk tempatan.

“(Dan) pada hari ini (24 November) sebanyak 10 kompaun dikeluarkan oleh Jabatan Pelesenan MPSP atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen sah yang mana tujuh lesen telah dirampas membabitkan empat perniagaan barangan am dan tiga lagi melibatkan (perniagaan) premis makanan.

“Sebanyak 10 kompaun lagi dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kesihatan MPSP atas kesalahan premis kotor dan tidak menggunakan penapis minyak,” ujarnya pada sidang media selepas tamat operasi berkaitan.

Sementara itu, Timbalan Penolong Pengarah Kanan (TPPK) Bahagian Penguatkuasa Imigresen Pulau Pinang, Izham Idris memberitahu bahawa kesemua mereka yang ditahan didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 iaitu berada di negara ini tanpa sebarang pas atau permit yang sah dan Peraturan 39B Peraturan Imigresen 1963 iaitu menyalahgunakan pas perjalanan.

“Seramai 15 orang yang ditangkap terdiri daripada 13 lelaki dan dua wanita atas kesalahan tiada permit perjalanan yang sah yang mana seramai enam orang adalah dari Myanmar, Bangladesh (5), Nepal (1) serta Indonesia (1).

“Kesemua mereka akan ditahan di depoh tahanan Juru selama 14 hari untuk siasatan lanjut,” jelasnya lagi.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF