‘The Orange Challenge’, inisiatif kerajaan tangani gangguan seksual

SEBERANG JAYA – Penganjuran ‘The Orange Challenge’ merupakan satu inisiatif yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri di bawah Program Penang Goes Orange (PGO) dalam usaha mempromosikan kempen “Hentikan Gangguan Seksual” di negari ini.

Kira-kira 1,000 orang yang terdiri daripada lelaki dan wanita pelbagai peringkat umur menyertai program berkenaan yang berlangsung di Taman Burung Pulau Pinang (atau Penang Bird Park) di sini pada 24 November lalu.

Exco Pembangunan Wanita & Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng dalam ucapannya berkata, penganjuran program berkenaan bermatlamat untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai gangguan seksual serta cara menanganinya.

“Gangguan seksual bukan terletak pada faktor jantina semata-mata tetapi pada dasarnya berpunca daripada kuasa yang ada pada seseorang secara kebiasaannya sinonim dengan kaum lelaki.

“Bagaimanapun, ketika ini sukar bagi mangsa gangguan seksual untuk tampil ke depan kerana tidak ada satu akta khusus untuk melindungi mereka dan proses yang ada pada masa ini sangat rumit serta tidak jelas.

“Oleh itu, satu akta mengenai gangguan seksual wajar digubal dengan kadar segera oleh pihak kerajaan (Pusat) untuk memberikan keadilan kepada mangsa dengan mengheret pelaku ke mahkamah,” ujarnya ketika berucap pada perasmian program berkaitan di sini.

Barisan penaja yang menjayakan program.

Turut berucap sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Pengarah Penang Bird Park, Dr. Gino Ooi dan ramai lagi.

Mengulas lanjut, Chong Eng yang juga ADUN Padang Lalang menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri juga menerbitkan sebuah buku berjudul ‘Body Safety Education’ yang akan diedarkan secara percuma kepada ibu bapa yang ingin mengetahui bentuk-bentuk gangguan seksual yang sering berlaku dalam masyarakat hari ini.

“Kita (Kerajaan Negeri) mahu setiap keluarga di negeri ini memiliki satu buku ini supaya ibu bapa tahu mengenai gangguan seksual dan menerangkannya kepada anak-anak,” katanya lagi.

Selain larian ria, program tersebut juga dimeriahkan dengan pertunjukan burung serta pameran berkaitan kempen hentikan keganasan rumah tangga.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF