MPSP mampu jana RM12juta hasil penjualan biogas

Admin

MAIMUNAH Mohd. Sharif (kiri sekali) bertukar-tukar dokumen dengan Pengarah Urusan Asia Pasifik Bionersis, Pascal Voisin (kanan sekali) sambil diperhatikan oleh Chow Kon Yeow (dua dari kiri) dan Oon Lai Kuan (dua dari kanan) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penjualan Biogas Dengan Syarikat Bionersis Malaysia Sdn. Bhd. (Bionersis) di sini baru-baru ini.
MAIMUNAH Mohd. Sharif (kiri sekali) bertukar-tukar dokumen dengan Pengarah Urusan Asia Pasifik Bionersis, Pascal Voisin (kanan sekali) sambil diperhatikan oleh Chow Kon Yeow (dua dari kiri) dan Oon Lai Kuan (dua dari kanan) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penjualan Biogas Dengan Syarikat Bionersis Malaysia Sdn. Bhd. (Bionersis) di sini baru-baru ini.

 

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bakal menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM12 juta hasil penjualan biogas untuk tempoh 12 tahun akan datang dengan temeterainya Perjanjian Penjualan Biogas Dengan Syarikat Bionersis Malaysia Sdn. Bhd. (Bionersis) baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow berkata, melalui perjanjian tersebut, Bionersis yang mempunyai kepakaran dan pengalaman antarabangsa dalam mengumpul dan mengurus biogas di tapak-tapak pelupusan sisa pepejal akan memproses serta membakar biogas untuk dijadikan gas atau menjana elektrik untuk dijual.

Tapak tersebut terletak di Mukim 11, Changkat, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan berkeluasan 330,000 meter persegi yang telah menghentikan operasinya dan telah ditutup. Berbekalkan keluasan tersebut, ia dianggarkan berkeupayaan mengeluarkan biogas sebanyak 3,538m3/jam untuk tempoh dari tahun 2011 hingga 2020,’’ katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penjualan Biogas Dengan Syarikat Bionersis Malaysia Sdn. Bhd. (Bionersis) di sini baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Yang diPertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif yang mewakili pihak MPSP dan Ketua Penolong Setiausaha Unit Kerajaan Tempatan Kerajaan Negeri, Oon Lai Kuan.

Sementara itu, Maimunah memberitahu, tindakan dan pemikiran jauh MPSP melalui perjanjian penjualan biogas terbabit adalah satu langkah proaktif bagi membuktikan aspirasi Kerajaan Negeri ke arah Pulau Pinang Bersih dan Hijau.

Perjanjian ini mampu menghasilkan faedah yang sangat positif kepada alam sekitar kerana biogas dapat diurus dan dikawal selia dengan baik. Membiarkan biogas tanpa diurus akan membawa bencana dan mengancam alam sekitar kerana ia mampu mengeluarkan bau yang teramat busuk dan mudah terbakar,’’ ujar beliau sambil menyatakan bahawa keuntungan tersebut adalah untuk kepentingan semua penduduk Seberang Perai.