PP sasarkan perkembangan K-Ekonomi & industri berteknologi tinggi

Admin

 

BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mensasarkan jumlah pelaburan bagi tahun 2011 adalah sebanyak RM6.1bilion iaitu 50% jumlah pelaburan yang direkodkan tahun lalu berjumlah RM12.2 bilion. Hal ini menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng adalah strategi untuk menarik minat syarikat-syarikat yang berasaskan teknologi (high technology), pengetahuan (knowledge basis) dan nilai tambah yang tinggi (high value-added) untuk melabur di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Guan Eng turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan memastikan industri sedia ada dapat dikawalselia dengan teratur agar rekod pelaburan yang dicapai oleh Pulau Pinang tahun lalu tidak akan menyebabkan terjadinya kekurangan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi yang akan melembabkan pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh dari MIDA, sebanyak RM1.8 bilion telah diluluskan bagi 20 buah projek pada suku pertama tahun ini untuk Pulau Pinang. Malah Keluaran Negara Kasar (KNK) bagi Pulau Pinang meningkat kepada RM991 juta iaitu 21% daripada nilai KNK yang diperolah Malaysia. Ini meletakkan Pulau Pinang di tangga keempat dalam senarai penyumbang KNK tertinggi negara.

Pada tahun 2010, jumlah pelaburan Pulau Pinang sebanyak RM12.2 bilion telah mensasarkan 21,000 peluang pekerjaan baharu. Walaupun Pulau Pinang tidak menghadapi kekurangan peluang pekerjaan, namun Kerajaan Negeri perlu berhadapan dengan lambakan sumber manusia dan juga pembangunan pesat industri kecil dan sederhana (IKS).

Oleh demikian, Kerajaan Negeri melalui investPenang telah merangka beberapa strategi pelaburan dan pertumbuhan ekonomi termasuklah penubuhan SMART Centre (SME Market Advisory, Resource and Training Centre), ‘Penang Science Council’ (PSC) dan ‘Career Assistance and Training Centr’e. Malah penubuhan SMART Centre adalah untuk memberi kemudahan dan membantu para pengusaha IKS untuk melebarkan perusahaan masing-masing. Kerajaan Negeri turut merancang untuk mengadakan sebuah kawasan perkampungan IKS (SME’s Village) yang bertujuan untuk mengumpul para pengusaha IKS di suatu tempat yang bukan sahaja memudahkan pemantauan malah turut praktikal dan sistematik dalam memastikan kelestarian pembangunan IKS di Pulau Pinang.

Usahasama yang diadakan dengan PSDC dan penubuhan PSC turut memperlihatkan hala tuju Pulau Pinang dalam melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang berkemahiran sains dan teknologi sekaligus meletakkan Pulau Pinang dalam standardnya yang tersendiri.

Selain itu, penubuhan CAT Centre pada 2009 lalu adalah bertujuan untuk membantu para penganggur dan pekerja yang diberhentikan untuk mendapat pekerjaan telah berubah haluan apabila CAT Centre kini lebih menumpukan strategi untuk menarik minat bakat-bakat baru dalam industri. Malah penjenamaan semula Pulau Pinang sebagai lubuk emas bagi mereka yang mencari peluang kerjaya dan menjadikan Pulau Pinang sebagai salah sebuah tempat yang selesa untuk didiami turut diberi perhatian khusus. Bertemakan “My Penang, My Workplace”, Kerajaan Negeri positif dengan pembangunan ekonomi dan pelaburan di Pulau Pinang mampu meletakkan Pulau Pinang sebagai negeri contoh dalam pelbagai industri termasuk pembuatan, IKS dan sains dan teknologi.

Pulau Pinang mendahului!