MPSP mulakan kempen kibar Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) hari ini memulakan kempen mengibar Jalur Gemilang bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, kempen berkenaan akan bermula hari 1 Ogos sehingga 16 September depan yang bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat terutama warga Seberang Perai.

“Bendera akan dipasang di premis MPSP seperti di Menara MPSP, pejabat-pejabat cawangan, kompleks sukan (4 buah), rumah pam (20 buah), stor Jalan Siram, jalan-jalan besar utama dan juga kenderaan MPSP.

“Kita juga menggalakkan premis-premis perniagaan untuk menyertai kempen  ini dan untuk tujuan itu, MPSP telah mengeluarkan surat kepada 36,661 premis perniagaan di kawasan Seberang Perai.

“Oleh itu, kita menyeru agar semua penduduk di Seberang Perai supaya mengibarkan Jalur Gemilang di mana-mana sahaja tidak kira pada kenderaan, rumah, premis awam atau swasta bagi meningkatkan lagi semangat cintakan negara,” ujarnya pada sidang media di Menara MPSP dekat Bandar Perda, di sini sebentar tadi.

Rozali menunjukkan cara pemasangan bendera yang betul seperti mana yang digariskan oleh Kementerian Perumahahan dan Kerajaan Tempatan

Dalam perkembangan lain, Rozali turut menyeru kepada penduduk di negeri ini untuk segera menyelesaikan bayaran kompaun yang dikeluarkan oleh MPSP bagi mengelakkan tindakan mahkamah.

“Bagi kesalahan tempat letak kereta, jika lebih 10 saman diterima kita akan keluarkan notis merah yang akan dihantar sendiri ke alamat kediaman masing-masing.

“(Dan) Sekiranya mereka menerima surat amaran ini dan masih gagal membayar kompaun dalam tempoh sebulan atau kurang dari itu kita akan bawa kes ke mahkamah.

“Selain itu, tindakan mengapit tayar juga akan dilaksanakan kepada kenderaan yang mempunyai saman tertunggak sekiranya ditemui di kawasan-kawasan lapang,” tegasnya lagi.

Difahamkan, semakan dan bayaran notis kompaun secara dalam talian juga boleh dilakukan dengan melayari laman sesawang http://www.mpsp.gov.my atau melalui aplikasi MyMPSP yang boleh dimuat turun melalui Google Play serta portal MPSP Pay.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS