MPSP seru jelas kompaun elak tindakan mahkamah

SEBERANG JAYA – Setiap bulan, kira-kira 300 kes pelanggaran undang-undang Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang pelbagai akan dirujuk ke mahkamah, umum Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Justeru, beliau menyeru mereka yang berkenaan supaya segera menjelaskan pembayaran kompaun bagi mengelak tindakan lanjut secara berperingkat di mahkamah.

“Pada bulan Ogos ini, kita ambil sebanyak 330 kes ke mahkamah, purata kes yang akan kita bawa ke mahkamah adalah sebanyak 300 kes.

“Saya harap baki sebanyak 84,000 kompaun akan diselesaikan dalam tempoh enam bulan,” serunya pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Setiausaha Perbandaran, Ir. Rosnani Mahmod serta barisan Ahli Majlis MPSP lain turut sertai sidang media tersebut.

Contohnya, untuk kesalahan tidak mempamerkan kupon MPSP ketika parkir kenderaan, Rozali memberitahu, pembayaran kompaun dalam tempoh 14 hari adalah serendah RM15; selepas tempoh 14 hari (RM20) dan selepas tempoh 28 hari (RM25) sebelum tindakan undang-undang diambil, demi menggalakkan pembayaran golongan terlibat sebelum dirujuk ke mahkamah.

“Ini adalah penguatkuasaan berhemah, kita (MPSP) tidak cepatcepat membawa mereka ke mahkamah walaupun mereka melakukan kesalahan,” jelasnya.

Atas nama penguatkuasaan hemah, Rozali menyatakan bahawa pengurangan kompaun sebanyak 50 peratus turut dilaksanakan sempena Hari Majlis 23 Julai lalu di sini. Pada hari tersebut, katanya, MPSP berjaya menerima pembayaran berjumlah RM175,310 untuk 11,467 kompaun kesalahan berkaitan tempat letak kenderaan; 168 kompaun berkaitan kesalahan binaan tanpa kebenaran (RM25,200) dan 56 kompaun berhubung kesalahan perlesenan (RM15,275).

“Sebelum promosi pengurangan kompaun bersempena Hari Majlis yang diadakan pada 23 Julai 2017, kompaun yang belum dijelaskan (melibatkan ketiga-tiga jenis kesalahan) adalah berjumlah 95,305 dengan jumlah bayaran sebanyak RM3,292,160,” ujar Rozali.