Terapkan kreativiti, inovasi dalam tadbir urus MPSP, seru KM

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Seperti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pun perlu menceburi diri dalam Revolusi Perindustrian 4.0 dengan menekankan aspek kreativiti dan inovasi dalam tadbir urus pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian sempena sambutan Hari Majlis MPSP 2017, ketika mengulas mengenai 12 Keutamaan MPSP yang digariskan Yang di-Pertua (YDP) MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

“Yang penting adalah pelaksanaan, perancangan yang lebih baik, sekiranya tidak dilaksanakan, ia hanya jadi suatu teori, idea dan satu konsep sahaja.

“Kekuatan sebenar Amerika Syarikat adalah inovasi dan kreativitinya…Bill Gates, Steve Jobs dan Mark Zuckerberg adalah ‘pencipta’ yang telah berjaya mengubah cara hidup satu dunia.

“Mereka sekarang mencetuskan Revolusi Perindustrian 4.0, kita (MPSP) harus menceburi diri. “Cuba dampingi diri Revolusi Digital Industri 4.0…sekurang-kurangnya cara kerja kita akan berubah sama sekali,” ucapnya di Auditorium Kompleks Ibu Pejabat MPSP di sini 23 Julai lepas.

Sebelum itu, Rozali menyatakan bahawa salah satu keutamaan pentadbirannya adalah mewujudkan ‘smart cities’ melalui Analisis Data Besar & Data Terbuka (BDA), Internet Untuk Segala-Galanya (IoT), ‘Open Data’, Pengkomputeran Awam (cloud computing) dan Sistem Informasi Geografi (GIS).

“Mewujudkan smart cities di Seberang Perai ini berdasarkan Big Data Analytics, IoT, Open Data, Cloud Computing, GIS adalah bertujuan menyokong wawasan Kerajaan Negeri untuk menjadi Bandar Pintar Pulau Pinang iaitu sebagai bandar pintar pertama di Malaysia,” jelasnya.

Menurut Rozali, semua 12 Keutamaan MPSP itu akan mula dilaksanakan dalam tempoh 200 hari mulai masa pelantikannya sebagai YDP MPSP pada 3 Julai lepas.