MPSP terima anugerah PBT bertaraf 5 bintang

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berjaya menerima anugerah pihak berkuasa tempatan (PBT) bertaraf lima bintang selepas menjalani penilaian berdasarkan beberapa kriteria, kata Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Menurutnya, anugerah berkenaan diterima pada 17 Mei lalu melalui Sijil Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan 2016 daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah di atas kerjasama semua pihak di atas kejayaan ini,” ujar beliau ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh MPSP di sini 25 Mei lalu.

Turut hadir, Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod serta barisan Ahli Majlis bagi MPSP.

Dalam mesyuarat itu juga, Rozali turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di atas pelantikan beliau sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang baharu.

“MPSP yakin dengan kepimpinan dan kewibawaan Ketua Menteri mampu membawa Pulau Pinang ke arah negeri yang makmur, berdaya tahan dan terkenal di peringkat antarabangsa.

“Ucapan tahniah juga kepada Tuan Jagdeep Singh Deo di atas pelantikan sebagai Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa baharu, dan kita yakin bahawa beliau mampu membimbing MPSP ke arah PBT yang lebih cekap, berkualiti serta berkesan dalam memberikan khidmat terbaik kepada penduduk Seberang Perai,” katanya.