Naik taraf jalan kampung, alternatif atasi kesesakan

Admin

GEORGE TOWN – Cadangan menaik taraf jalan kampung sepanjang 800 meter (m) menghubungkan Jalan Balik Pulau dan Jalan Pondok Upeh, Balik Pulau telah diluluskan pada mesyuarat Jawatankuasa Infrastruktur dan Trafik, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di sini.

Keputusan tersebut telah diputuskan pada 17 Mei lalu. Datuk Bandar MBPP, Ar. Yew Tung Seang berkata, MBPP sedang mencari idea dan cara terbaik untuk meredakan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.

“Jalan alternatif yang telah dicadangkan dijangka dapat mengurangkan sehingga 30 peratus kesesakan lalu lintas sedia ada.

“Perunding akan dilantik bagi menjalankan kajian terperinci dan kemungkinan sebelum kami (MBPP) membuka tender.

“Tender dijangka akan dibuka awal tahun depan,” ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua-ketua Jabatan dan Ahli-ahli Majlis MBPP.

Difahamkan, projek tersebut akan mengambil masa kira-kira 24 bulan untuk disiapkan.