MSNPP perkenal Token Wang Saku kepada atlet bertanding peringkat antarabangsa

Admin
c5f3a3d8 47f3 4a5d 8874 e9bd844ba747

PADANG KOTA – Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) memperkenalkan Skim Bantuan Elaun Insentif Galakan Prestasi Sukan (Token Wang Saku) kepada atlet-atlet kebangsaan negeri Pulau Pinang di kejohanan peringkat antarabangsa.

Menurut Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen, Token Wang Saku itu diperuntukkan adalah sebanyak RM60,000 setahun atau bersamaan RM500 setiap permohonan.

“Tujuaannya adalah untuk mengeratkan hubungan atlet-atlet kita yang sudah bernaung di peringkat kebangsaan, sebab lazimnya apabila mereka sudah berlatih di Bukit Jalil, kita agak ‘berjauhan’ dengan mereka  jadi kita berharap Token Wang Saku ini mampu mengeratkan hubungan kita di MSNPP dengan atlet-atlet yang berasal dari Pulau Pinang.

“Semua atlet Pulau Pinang yang mewakili pasukan negara untuk penyertaan temasya, kejohanan atau pertandingan sukan peringkat antarabangsa yang dipelopori penyertaannya oleh badan induk sukan negara menerusi Persatuan Sukan Kebangsaan, Majlis Sukan Negara Malaysia atau Majlis Olimpik Malaysia layak untuk memohon.

“Konsepnya adalah siapa cepat dia dapat dalam lingkungan RM60,000 setahun sahaja, maklumat lanjut boleh didapati dari laman web rasmi MSNPP,” ujar Zi Sen pada Majlis Berbuka Puasa MSNPP Bersama Exco dekat Seri Pinang, di sini petang tadi.

Hadir sama, Pegawai Daerah bagi Daerah Timur Laut, Rosli Halim; Pengarah MSNPP, Harry Chai Heng Hua; barisan kejurulatihan dan atlet terlibat.

Turut berlangsung adalah penyampaian sijil Anugerah Jurulatih Cemerlang dan Terpuji bagi tahun 2023

Md. Nashriq Md. Nasir (jurulatih Judo) dan Lee Phee Sze (Karate Kumite) masing-masing dinobatkan sebagai jurulatih cemerlang bagi tahun 2023 membawa pulang Sijil Simpanan Premium bernilao RM1,000

Lapan lagi jurulatih turut menerima Anugerah Jurulatih Terpuji 2023.

Heng Hua pada satu sidang media menyatakan kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Pulau Pinang menyasarkan 40 butir pingat emas pasa temasya SUKMA Sarawak yang akan dipertandingkan mulai 17 Ogos akan datang.

“Saya juga memohon kerjasama pihak persatuan sukan negeri untuk sentiasa membantu dan menyediakan sokongan tambahan khususnya kepada atlet serta jurulatih.

“Kerjasama semua termasuk MSN, Persatuan, Jurulatih dan atlet mampu memberi impak positif dalam menyediakan kontinjen pasukan terbaik dan hebat di SUKMA akan datang.

“Diharapkan nilai-nilai kebersamaan seperti mengukuhkan semangat kekeluargaan, memupuk kerjasama, elemen keharmonian dan  perpaduan antara kita sempena majlis berbuka puasa ini dapat diteruskan dan diterjemahkan dalam meningkatkan kecemerlangan pembangunan sukan di negeri Pulau Pinang,” katanya lagi.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD