KUALA SELANGOR, SELANGOR – Hujan renyai-renyai menambah cabaran buat para atlet berbasikal bukit (MTB) yang bersaing merebut tempat di podium pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Lembah Peladang Agro Park, Saujana Utama, hari ini.
Pada aksi kelayakan jam 10.00 pagi tadi, seramai 21 atlet lelaki turun bertanding dan diuji oleh laluan mencabar sepanjang kira-kira satu kilometer (km) di lokasi berkenaan.
Antara yang mencuri tumpuan adalah aksi dua beradik yang mewakili Pulau Pinang, Muhammad Ubayd Mohd. Naim dan Muhammad Uzair Mohd. Naim.

Pegawai Pembangunan Sukan MTB Pulau Pinang, Mohamad Hafizi Mazain berkata, saingan pada sebelah pagi itu merupakan ujian masa bagi menentukan kedudukan awal (seeding) atlet sebelum mereka berentap dalam saingan akhir pada sebelah petang.
“Daripada 21 atlet yang menyertai acara pada pagi tadi, keputusan rasmi menyatakan Muhammad Uzair di kedudukan kesembilan, sementara Muhammad Ubayd pula berada pada kedudukan nombor 15.
“Pihak kami berharap hujan renyai ini berhenti menjelang sebelah petang nanti bagi memberi laluan kepada saingan akhir yang sebenar.
“Walau bagaimanapun, sekiranya hujan berterusan dan semakin lebat, kedudukan pada peringkat awal pagi tadi secara automatik akan digunakan untuk menentukan pemenang pingat acara tersebut,” katanya ketika ditemui di sini pada 14 Ogos 2026.
Dalam pada itu, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat gangsa bagi acara MTB berdasarkan prestasi serta potensi semasa yang ditunjukkan oleh Muhammad Ubayd.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI