Muara Sungai Keluang berpotensi dimajukan sebagai kawasan perkhidmatan teksi air

Admin
BATU MAUNG – Kawasan muara Sungai Keluang dekat Batu Maung dilihat mempunyai potensi besar untuk dimajukan sebagai kawasan perkhidmatan teksi air atau water taxi di negeri ini.
Perkara tersebut dimaklumkan Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang pada sidang media selepas merasmikan Batu Maung 4Ts & STEAM Learning Centre, di sini sebentar tadi.
Menurut Tung Seang, isu pengangkutan perlu dilihat secara holistik dan menyeluruh memandangkan Penang Transport Master Plan (PTMP)  masih dalam peringkat kajian dan memerlukan masa untuk kelulusan pelbagai pihak.
“Kalau dilihat kepada laluan PTMP, Batu Maung merupakan stesen permulaan dan akhir bagi pelan tersebut.
“Jadi kita perlu melihat secara holistik bagaimana hendak gerakkan masyarakat (pengguna) secara efektif.
“Berdasarkan faktor geografi Pulau Pinang yang merupakan sebuah pulau, maka perkhidmatan taksi air ini berpotensi untuk dibangunkan.
“Dan apa yang saya lihat, muara Sungai Keluang sesuai untuk tujuan ini, di mana ia berdekatan dengan kawasan paya bakau dan masih terdapat tanah untuk dimajukan berbanding kawasan George Town yang padat,” jelasnya ketika ditanya wartawan berhubung cadangan beliau itu.
Hadir sama Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain.
Menurut Tung Seang, potensi itu dilihat sejurus beliau mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, Tung seng menjelaskan bahawa perkara tersebut hanya cadangan dan memerlukan kajian lanjut mengenainya.
“Walaupun ia berpotensi untuk diketengahkan, namun banyak yang perlu dikaji dan diteliti terlebih dahulu,” ujarnya.