4T transformasi Batu Maung sebagai bandar maju yang bersih, hijau, selamat dan pintar – ADUN

Admin
BATU MAUNG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain menyifatkan pembukaan STEAM Learning Centre adalah selari dengan visi Penang2030 untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri pintar.
Katanya, terdapat 4T untuk mentransformasikan Batu Maung sebagai bandar maju yang bersih, hijau, selamat dan pintar.
“T yang pertama ialah tourism di mana Batu Maung sememangnya mempunyai produk-produk  pelancongan yang sangat menarik seperti War Museum, Akuarium Batu Maung, Sampo Kong atau Cheng Ho, kampung tradisi Teluk Tempoyak serta Sungai Keluang dan Paya Bakau yang boleh dibangunkan sebagai kawasan boat ride.
“Kedua, teknologi iaitu kawasan ini merupakan nadi utama ekonomi Pulau Pinang dan dengan adanya Pusat STEAM ini adalah persediaan jangka panjang untuk melahirkan lebih ramai bakat yang berkemahiran untuk mengisi industri teknologi negeri.
“Diikuti T ketiga iaitu transport yang mana Batu Maung terlibat secara langsung dengan Penang Transport Master Plan (PTMP) yang akan memberi manfaat kepada penduduk di sini. Walau bagaimanapun, di harap PTMP ini bukan sahaja menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas tetapi mengekalkan kawasan hijau dan habitat ikan di sini.
“Terakhir, transquality bermaksud satu keadaan yang tenang, aman damai dan harmoni ataupun menjadikan Batu Maung satu tempat yang ‘tranquil’ untuk sesebuah keluarga,” yang juga Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan.
Hadir menyempurnakan majlis perasmian mewakili Ketua Menteri, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang.
Justeru, Abdul Halim berharap lebih banyak pihak profesional dan swasta akan tampil membantu untuk   menjayakan dan mengekalkan inisiatif pilot Pusat STEAM tersebut.
“Pusat ini dijangka akan beroperasi sepenuhnya penghujung Januari 2019 nanti,” ujarnya.