Muhammad Umar Syazuli dan Awatif johan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pulau Pinang 2020

Admin

BERTAM – Muhammad Umar Syazuli Mohd. Tahir dan Awatif Abd. Majid masing-masing dinobatkan johan Tilawah Al-Quran Ke-63 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung dekat Dewan Millenium, Kepala Batas di sini, malam tadi.

Kemenangan tersebut melayakkan kedua-duanya membawa pulang wang tunai RM5,000 serta tambahan RM15,000 pakej menunaikan umrah atau haji berserta piala dan sijil.

Mereka juga akan mewakili negeri Pulau Pinang pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2020/1441H yang bakal berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 14 hingga 21 Februari ini.

Muhammad Umar Syazuli Mohd. Tahir membacakan ayat Al-Quran selepas dinobatkan sebagai johan.

Sementara itu, bagi kategori tilawah lelaki, naib johan dimenangi oleh Muhammad Arman Mohd. Nasir yang menerima wang tunai RM4,000 berserta hadiah iringan manakala tempat ketiga disandang oleh Mohamad Afani Baharom dan memperoleh wang tunai RM3,000.

Kategori tilawah wanita pula menyaksikan Nur Shahirah Fatini Mohd. Shaharuddin mendapat tempat kedua diikuti Maimunah Awang (tempat ketiga).

Peserta-peserta lain turut menerima saguhati berupa wang tunai RM1,5000 berserta hadiah iringan.

Selain tilawah Al-Quran turut diumummkan johan bagi majlis hafazan mengikut kategori juzuk.

Bagi juzuk 1 hingga 10, johan disandang oleh Mohammad Ikmal Fahmi Norhisham diikuti naib johan Muhammad Afiq Abdul Razak manakala Nur Hafiz Rusyaidi Mohd. Roslan (tempat ketiga).

Untuk peserta wanita pula, Nur Anis Afreena Kamal Ariffin diumumkan sebagai johan diikuti Farah Wafda Mohammad Tarmizi (kedua) dan Nur Adilah Adibah Hamizan (tempat ketiga).

Majlis turut diserikan dengan alunan lagu-lagu nasyid.

Johan bagi kategori ini menerima wang tunai RM2,000 berserta hadiah iringan manakala naib johan (RM1,500) dan tempat ketiga pula (RM1,000).

Mohamad Amin Mohd. Nur Zamri (lelaki) dan Wisam Husnaa Ahmad Nazori (wanita) dinobatkan sebagai johan bagi kategori juzuk 1 hingga 20 yang menerima wang tunai RM3,000 berserta hadiah iringan.

Tempat kedua pula milik Mohamad Zuhdiz Zaahidien Mohd. Zamri dan Siti Qhodijah Azhamudin yang menerima wang tunai bernilai RM2,000 diikuti Abdurrahman Hisham dan Nur Alia Adriana Kamal Ariffin tempat ketiga (RM1,500).

Kategori terakhir iaitu hafazan juzuk 1 hingga 30 menobatkan Muhammad Amar Marzhukhi sebagai johan yang membawa pulang wang tunai RM4,000 berserta hadiah iringan manakala tempat kedua pula milik Mohamed Azim Mohamed Ibrahim (RM2,500) dan tempat ketiga pula milik Muhammad Alif Nazmi Sazali (RM2,000).

Majlis penyampaian hadiah kemudiannya disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri (TYT) Tun Dr. Abdul Rahman Abbas yang diiringi Timbalan Ketua Menteri I merangkap Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Antara hadirin yang memeriahkan majlis.

Hadir sama, isteri kepada TYT, Toh Puan Majimor Shariff; Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Sarul Bahiyah Abu; Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen; ex-officio serta dif-dif kehormat yang lain.

Bertemakan ‘Negera Rahmah, Ummah Sejahtera’, lafaz perasmian penutup majlis tilawah yang berlangsung selama dua hari itu dilafazkan oleh Abdul Rahman sebelum meninggalkan majlis.

Seramai lapan peserta yang berjaya dalam saringan menyertai majlis tilawah al-Quran dan 35 peserta lain menyertai majlis menghafaz al-Quran kali ini.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS