Mukhriz yakin pengalaman Pulau Pinang bantu Kedah bangunkan perpustakaan digital

Admin

GEORGE TOWN – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bersama-sama delegasi hari ini mengadakan lawatan ke Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL) dekat Jalan Masjid Negeri, di sini.

Mengiringi lawatan selama lebih dua jam tersebut adalah Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) S. Barathy; Timbalan Setiausaha Bahagian (Makro Pembangunan) Bahagian Perancangan Ekonomi Begeri (BPEN), Mohd. Syaiful Patolga; Pengarah BETA Arkitek, Tan Bee Eu serta Exco Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni & Budaya dan Pembangunan Usahawan Negeri Kedah, Mohd. Asmirul Anuar Aris.

Selain meninjau persekitaran PDL Fasa 1 dan Fasa 2, beliau juga diberi taklimat oleh pengurusan perpustakaan tentang perjalanan dan perkhidmatan yang disediakan.

Mukhriz Mahathir bergambar kenangan bersama-sama kakitangan Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang sejurus menamatkan lawatan beliau ke PDL Fasa 2.

Mukhriz berkata, Kerajaan Negeri Kedah kini sedang dalam perancangan untuk membangunkan perpustakaan digital demi kepentingan rakyat di negeri itu selari dengan perkembangan teknologi terkini.

“Apa yang ada di sini (PDL) sangat mengagumkan dan saya yakin bahawa dengan pengalaman yang ada pada Pulau Pinang mampu membantu (Kerajaan Negeri) Kedah untuk membangunkan perpustakaan digital.

“Mungkin kita juga akan mengguna pakai konsep yang sama seperti PDL cuma beberapa ciri kelainan perlu ditambah bagi menyesuaikannya dengan mentaliti rakyat Kedah,” katanya lagi.

Difahamkan, lawatan tersebut diadakan susulan pengumuman Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini yang menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) meluluskan peruntukan RM15 juta bagi pembinaan perpustakaan digital di Alor Setar, Kedah.

Memetik laporan media, Guan Eng berkata, pembinaannya akan dimulakan suku pertama tahun hadapan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun hadapan dengan mengadaptasi konsep dan model sama seperti PDL, selain menggunakan khidmat arkitek sama.

“PDL adalah inisiatif dimulakan kerajaan Pulau Pinang secara persendirian dan ini menunjukkan kejayaan model di Pulau Pinang.

“Bagaimanapun, perpustakaan digital di Kedah ini akan lebih besar berbanding PDL kerana akan dibina di atas tanah lebih luas,” ujarnya sebagai dipetik pada sidang media 1 Jun lalu.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ALVIE CHENG