Murid berkeperluan khas juga mampu berjaya – Hon Wai

Admin

PULAU TIKUS  – Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai percaya sekiranya potensi murid-murid berkeperluan khas dicungkil dengan sewajarnya maka ia akan menjadi kelebihan untuk mereka mencapai kejayaan.

Menurut Hon Wai, kekurangan sama ada dalam akademik mahupun fizikal bukan bererti mereka tidak boleh berjaya dan memiliki kerjaya pada masa hadapan.

“Latar belakang pendidikan saya adalah saya seorang peguam dan juga tergolong dalam keluarga kelompok B40, tetapi yang menjadi inspirasi untuk saya berjaya (menjadi seorang peguam) ialah seorang peguam yang buta yang saya kenali.

“Bermula saat itu, saya percaya walaupun ada kekurangan tetapi jika kita boleh atasi kekurangan itu maka kita juga boleh berjaya sama seperti orang lain.

“(Dan) saya juga percaya anda semua mampu mencapai kejayaan pada masa hadapan…yang penting ibu bapa dan guru-guru harus sama-sama mencungkil potensi murid-murid berkeperluan khas ini ke suatu tahap yang membanggakan,” ujarnya.

PERSEMBAHAN istimewa daripada murid Tahap 1 Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Persekutuan di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Unit Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Huzaimi Mohd. Hashim; Guru Besar SK Pendidikan Khas Persekutuan, Siti Zaleha Ismail; Penolong Kanan Pentadbiran SK Pendidikan Khas Persekutuan, Ahmad Nerang Nordin dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Pendidikan Khas Persekutuan, Sobri Abd. Kadir.

Mengulas lanjut, Hon Wai berkata, dalam membangunkan sistem pendidikan negara yang komprehensif, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menerima peruntukan terbesar sebanyak RM64.1 bilion pada tahun hadapan (melalui Belanjawan 2020).

“Hal ini sekaligus menunjukkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan pendidikan negara termasuk cadangan menambahkan bilangan kelas pendidikan khas di sekolah-sekolah (Program Pendidikan Khas Integrasi, PPKI).

“Bukan itu sahaja, Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut menyediakan peruntukan bagi membantu menyelenggara kemudahan di sekolah-sekolah di Pulau Pinang walaupun ia (pendidikan) bukan di bawah bidang kuasa negeri.

“Malah, saya juga berbesar hati memperuntukan RM40,000 kepada SK Pendidikan Khas Persekutuan bagi tujuan pembangunan bumbung di sekolah dan pembiayaan aktiviti.

“Semua ini menunjukkan betapa pentingnya pendidikan kerana saya percaya ia (pendidikan) memberi lonjakan untuk mengubah keadaan sosioekonomi sesebuah kekeluarga dan semua (peruntukan) adalah untuk pelaburan masa hadapan,” jelasnya.

WONG Hon Wai (tiga dari kiri) bersama-sama dif dan tokoh murid Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Persekutuan Pulau Pinang merakamkan gambar kenangan.

Terdahulu, ketibaan Hon Wai disambut meriah dengan persembahan murid Tahap 1 SK Pendidikan Khas Persekutuan dan disusuli dengan tarian zapin tradisional.

Hari Anugerah yang diadakan saban tahun itu merupakan wadah terpenting dalam memberi galakan kepada murid-murid untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik.

Dalam majlis sama, Siti Qhadeeja Khairul Jafri dan Nurthafiqah Husna Shaiful Mahathir masing-masing dinobatkan sebagai tokoh melalui Anugerah Murid Aktif (Kokurikulum) dan Anugerah Adiwira (Tokoh Murid).

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN