RM100 juta tangani isu kemiskinan tegar komuniti India Pulau Pinang – ADUN Padang Lalang

Admin

PADANG LALANG – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang akan senantiasa memastikan tidak ada mana-mana komuniti rakyat terpinggir daripada arus pembangunan semasa.

Menerusi Belanjawan 2020 Negeri Pulau Pinang, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng berkata, RM100 juta diperuntukkan bagi menangani isu kemiskinan tegar dalam kalangan masyarakat India di negeri ini.

“Sebenarnya kami (Kerajaan Negeri) amat prihatin dan sedang membuat sesuatu yang terbaik untuk masyarakat India dan semua, dalam negara Malaysia ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang dalam Majlis Rumah Terbuka Deepavali di Dewan Orang Ramai Taman Mutiara dekat sini pada 15 November 2019.

Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Datuk Dr. Florence antara ratusan hadirin pada majlis jamuan malam di sini.

Dalam pada itu, Chong Eng memberitahu bahawa belanjawan tahunan 2020 turut memperuntukkan RM50,000 melalui Tabung Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) untuk fokus pembangunan agama selain Islam.

“Jawatankuasa Tabung Amanah RIBI telah meluluskan sebanyak 42 permohonan kuil Hindu untuk dibaiki,” katanya lagi.

ANTARA tarian kebudayaan dan tradisional Tamil yang dipersembahkan pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Padang Lalang di sini.

Selain itu, beliau memberitahu sejumlah RM170,000 dana pembangunan melalui Tabung Khas 2019 juga disalurkan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bukit Mertajam; SJKT Ramakrishna (RM300,000); SJKT Jawi (RM200,000) dan SJKT Permatang Tinggi (RM1 juta).

“SJKT Subramaniya Barathee juga, pembinaan bangunan tambahan sedang berjalan dengan lancar dan pada tahun 2018 pihak sekolah telah menerima peruntukan sebanyak RM350,000 dan pada tahun 2019 menerima RM300,000 (daripada sumber Tabung Khas 2019),” jelasnya.

Chong Eng diiringi suami, K. Gunabalan menyempurnakan acara perasmian pembukaan dengan nyalaan ‘Kuthu Vilakku’, diiringi pelbagai acara tradisional kebudayaan yang dipersembahkan oleh kumpulan Aru Dance, sebagai penyeri majlis.

Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB