MyPublicInfobanjir bantu rakyat siap siaga hadapi bencana

2bd981db aad9 4c32 b813 3f8c5d48af92 OOI Soon Lee semasa sesi temu bual di Komtar menjelang tengah hari tadi (28 Oktober 2025) turut menjelaskan bagaimana sistem pintar MyPublicInfobanjir yang diwujudkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Persekutuan dan negeri-negeri membantu rakyat mengakses data berkaitan paras air sungai di kawasan carian masing-masing demi membuat persiapan awal dalam menghadapi risiko bencana di Pulau Pinang.

FASA Peralihan Monsun Timur Laut yang bermula pada bulan November ini dijangka membawa taburan hujan lebat serta ribut petir yang berlaku pada sebelah petang dan awal malam.

Susulan pengumuman yang dibuat oleh Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) pada hujung bulan September lalu, pelbagai reaksi telah diterima daripada orang ramai.

Fasa peralihan monsun ini membimbangkan banyak pihak, terutamanya komuniti yang tinggal di kawasan tumpuan (hotspot) banjir seperti dikenal pasti oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), iaitu 41 di Daerah Timur Laut, Daerah Barat Daya (41), Seberang Perai Utara (66), Seberang Perai Tengah (88) dan Seberang Perai Selatan (20).

6916ccee fc4c 4e23 ba6d d8df0b15e0e0
OOI Soon Lee

Pada 28 Oktober 2025, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB bersama-sama jurugambar SITI NURATIKAH RAHMAT berkesempatan menemu bual Pengarah Pengairan dan Saliran Negeri Pulau Pinang, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Ooi Soon Lee di Pusat Pemantauan Banjir dan Kemarau, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang.

Pegawai Hidrologi JPS Negeri Pulau Pinang, Mohammad Ridzuan Ahmad dan Penolong Jurutera (Bahagian Hidrologi), Siti Nazliah Osman, turut serta dalam sesi temu bual di pusat tersebut yang terletak di Paras 55, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR).

ccdf7814 323f 45e3 b0ef 27fd9a6821f3
(Dari kiri) SITI Nazliah Osman, Ooi Soon Lee dan Mohamad Ridzuan Ahmad merakamkan gambar di depan Pusat Pemantauan Banjir dan Kemarau yang terletak di Paras 55, Komtar.

Soon Lee menjelaskan bahawa JPS kini telah membangunkan aplikasi pintar MyPublicInfobanjir bagi membolehkan orang awam mengakses maklumat dan mengetahui paras sebenar air sungai di kawasan tumpuan bagi tujuan persediaan awal.

“Kita (komuniti setempat) tidak seperti rakyat Jepun atau Taiwan yang begitu peka terhadap ramalan cuaca.

“Ramai antara kita tidak menonton berita ramalan cuaca, mungkin kerana dahulu maklumatnya kurang tepat.

“Namun kini, dengan memuat turun aplikasi MyPublicInfobanjir ke dalam telefon pintar, orang ramai boleh mengetahui paras air sungai berhampiran sama ada berada pada paras normal, amaran atau bahaya,” jelasnya.

c6011a02 9f91 4ba2 a23d fc83a589f481
OOI Soon Lee menjelaskan bagaimana data-data berkaitan dikumpul serta dimanfaatkan di Pusat Pemantauan Banjir dan Kemarau di sini membantu JPS Negeri Pulau Pinang melaksanakan tugas-tugas hakiki sebelum, semasa dan selepas berlakunya bencana banjir di negeri ini.

Selain MyPublicInfobanjir, beliau berkata, JPS negeri turut memperkasa komuniti tempatan dalam aspek kesiapsiagaan dan pengurusan bencana menerusi dua inisiatif utama iaitu Kempen Amaran Ramalan Informasi Banjir (KARIB) dan Communication, Education and Public Awareness (CEPA).

“Dalam pengurusan bencana, JPS negeri menumpukan tiga fasa utama iaitu sebelum, semasa dan selepas banjir berlaku.

“Setakat ini, sistem maklumat JPS negeri mempunyai 136 Stesen Hujan di lokasi strategik bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai jumlah taburan hujan di Pulau Pinang secara masa nyata (real-time).

“Kita juga mempunyai 72 Stesen Aras Air untuk memantau sama ada paras sungai melimpah atau tidak, serta 56 Stesen Siren di kawasan berisiko tinggi,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa enam kamera litar tertutup (CCTV) turut dipasang di lokasi strategik sebagai langkah tambahan memberi amaran awal kepada penduduk melalui sistem siren sebelum bencana berlaku.

3cd008e6 9c5b 4fad abaa 315cc9c6d07b
GAMBAR seorang kakitangan sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan tiang ukur paras air sungai di sini baru-baru ini, sebagai persiapan menghadapi Perubahan Monsun Timur Laut yang bermula pada bulan November depan.
1f131199 1b45 42f9 8c78 b6110a920f02
GAMBAR seorang kakitangan JPS negeri sedang melakukan proses acu dan cuba sistem pemantauan pintar paras air sungai di kawasan yang dikenal pasti baru-baru ini.

Selain itu, katanya, JPS negeri juga menyelenggara 44 rumah pam saliran, 40 rumah pam pengairan, serta 35 pintu air di sepanjang parit dan sungai di negeri ini.

“Bagi menghadapi Monsun Timur Laut, JPS turut membuat persediaan dari segi aset seperti 29 pam bergerak, lori pengangkut, lori kren dan jentera pengorek (backhoe).

“Kita juga melaksanakan kerja penyelenggaraan rutin termasuk pembersihan sampah sarap dan lumpur yang menyebabkan sungai cetek serta memperdalam dan melebarkan parit utama bagi melancarkan aliran air,” katanya lagi.

Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, Soon Lee memberitahu bahawa JPS negeri telah menyiapkan beberapa projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Pulau Pinang.

“Kini, masih terdapat 12 projek RTB yang sedang dijalankan di kawasan hotspot banjir. Ada yang dijangka siap tahun ini, manakala sebahagian lagi pada tahun 2026 dan 2027,” ujarnya.

Menyentuh perancangan masa depan, Soon Lee berkata, empat projek baharu sedang dirancang dan dijangka bermula pada tahun 2026 dengan peruntukan daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2026, Pulau Pinang menerima satu projek baharu iaitu RTB Sungai Nyiur di Seberang Perai Utara.

“Selain itu, JPS negeri juga akan melaksanakan RTB Sungai Dua Besar, di sempadan antara Daerah Timur Laut dan Daerah Barat Daya.

“(Dan) dengan peruntukan tambahan Kerajaan Negeri, dua lagi projek RTB dijangka dilaksanakan di Bayan Baru serta di Permatang Rawa,” katanya.

Mengakhiri perbualan, Soon Lee menjelaskan bahawa peralihan Monsun Timur Laut lazimnya membawa hujan lebat ke negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia, namun Pulau Pinang juga tidak terkecuali menerima kesannya.

“Biasanya, negeri seperti Kelantan dan Pahang paling berisiko mengalami banjir besar.

“Namun, penduduk Pulau Pinang juga perlu sentiasa peka terhadap amaran cuaca daripada MET Malaysia atau melalui aplikasi MyPublicInfobanjir.

“Jangan ambil mudah amaran bencana yang dikeluarkan.

“Pada masa sama, saya menyeru semua komuniti agar tidak membuang sampah merata-rata kerana ia boleh menyumbang kepada kejadian banjir kilat.

“Kerjasama semua pihak termasuk persatuan penduduk dan NGO amat penting bagi membantu usaha JPS, NADMA dan Kerajaan Negeri dalam mengurangkan risiko bencana,” tegasnya.