Naik taraf infrastruktur komuniti, tingkat kualiti hidup penduduk – Ketua Menteri

Admin
2e59bb57 cc0d 443f b879 5e983e61ea5b KETUA Menteri menyampaikan ucapan ringkas semasa melawat tapak projek menaik taraf gelanggang bola keranjang Taman Tempua di sini pada 3 Mei 2024.

BUKIT TAMBUN – Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow akan terus berusaha menaik taraf projek infrastruktur awam pada peringkat komuniti bagi meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat setempat.

Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata projek menaik taraf gelanggang bola keranjang dekat Taman Tempua yang telah siap sejak bulan November tahun lepas menelan belanja sebanyak RM145,160.

“Bagi projek (menaik taraf gelanggang bola keranjang Taman Tempua) di sini, kita akan lihat permintaan (yang mana) peruntukan boleh dimohon daripada pihak Kerajaan Negeri, Majlis Bandaraya (Seberang Perai, MBSP) ataupun Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Kita (Kerajaan Negeri) akan cuba mendapatkan peruntukan bagi projek yang memberi impak tinggi kepada masyarakat tempatan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Khairul Nizam Hashim dan Ketua Polis Balai Simpang Ampat, SI P. Richard Mahesun turut sertai lawatan tapak projek tersebut.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata langkah menaik taraf gelanggang bola keranjang lengkap dengan kemudahan berbumbung turut boleh dimanfaatkan sebagai tempat aktiviti komuniti setempat.

“Menaik taraf gelanggang bola keranjang berbumbung mungkin menelan belanja ratusan ribu Ringgit sahaha berbanding projek membina sebuah dewan (yang mana) sekurang-kurangnya menelan kos dua atau tiga juta Ringgit,” jelasnya lagi.

Dalam lawatan ke Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tengah selepas itu, beliau berkata bahawa Kerajaan Negeri juga akan mempertimbangkan peruntukan bagi menaik taraf taman permainan serta gelanggang bola keranjang di Taman Sentul Jaya yang dianggarkan bernilai RM1 juta.

“Kita akan lihat peruntukan sama ada daripada KPKT atau Kerajaan Negeri bagi membantu menaik taraf kemudahan taman permainan dan gelanggang bola keranjang untuk kegunaan komuniti di sini,” katanya.

Sebelum itu, ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung berkata taman permainan tersebut merupakan satu-satunya kemudahan seumpamanya yang terdapat di dalam kawasan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Minyak, di sini.

“Kawasan MPKK Bukit Minyak merupakan taman perumahan terbesar merangkumi 13 taman serta kampung dengan jumlah populasi melebihi 17,000 penduduk yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

“Justeru, diharapkan Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan permohonan penduduk di sini untuk menaik taraf kemudahan taman permainan dan gelanggang bola keranjang demi manfaat penduduk setempat terutamanya golongan belia,” katanya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB & SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & SIEW CHIA EN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & DARWINA MOHD. DAUD