Naik taraf Jalan Bukit Minyak beri pengganda ekonomi hab industri Batu Kawan

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : CHRISTOPHER TAN

MACHANG BUBOK – Seperti dijanjikan, projek menaik taraf dan pelebaran Jalan Bukit Minyak yang dilancarkan barubaru ini membabitkan perbelanjaan RM30 juta, iaitu RM21.4 juta kos pengambilan balik tanah, RM7.95 kos pemajuan serta baki adalah kenaan Cukai Barangan dan Perkhidmaan (GST).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, projek itu bukan sahaja akan mengurangkan lagi kesesakan trafik di sini, bahkan sekaligus memberi pengganda ekonomi kepada hab perindustrian bandar baru Batu Kawan yang kian pesat membangun.

“Projek infrastruktur ini akan berintegrasi dengan pembangunan di sekitar Bukit Tengah, Bukit Minyak serta Alma, Bukit Mertajam untuk meningkatkan landskap ekonomi di Batu Kawan dan kawasankawasan industri di sekitarnya,” katanya dalam majlis pelancaran projek tersebut di sini.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin turut sertai majlis itu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon; Ahli Parlimen Batu Kawan, P.Kasthuriraani; Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato’ Rosli Jaafar dan Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Difahamkan, projek PDC itu merangkumi kerja-kerja menaik taraf 1.26 kilometer (km) dari dua lorong dengan kelebaran 8.5 meter (m) kepada empat lorong dengan kelebaran 30.48m, termasuk membina dua lorong khas untuk penunggang motosikal.

Guan Eng memberitahu, Lumson Bina Engineering Sdn. Bhd. yang dipilih secara tender terbuka oleh PDC memulakan kerja-kerja penarafan pada 18 Mac 2016 dan sepatutnya siap pada 17 Mac 2018.

Namun, tambah beliau, tarikh siap projek dilanjutkan sehingga bulan April 2019 disebabkan kerja-kerja pengambilan tanah berwajib.

“Kemajuan projek sedang berjalan kini pada (tahap) 38 peratus,” ujarnya.

Selain itu, Guan Eng menjelaskan PDC sehingga kini turut melaksanakan lima projek lain, iaitu:

1. RM7.8 juta projek pembinaan jalan raya menghubungkan Penang Science Park dan Juru;

2. RM25.8 juta projek pembinaan jambatan baru di Sungai Kerian, menghubungkan Taman Victoria dan Tanjung Berembang;

3. RM23.9 juta projek penarafan Jalan Bukit Tambun, daripada dua lorong kepada enam lorong;
4. RM33.5 juta pelebaran jambatan sedia ada di Batu Kawan daripada dua lorong selebar 11m, kepada enam lorong selebar 40m; dan

5. RM22.13 juta untuk projek pemajuan jambatan dan jalan sepanjang RM1.2km, dari Batu Kawan ke Valdor.

“Keseluruhan, enam projek infrastruktur ini, termasuk RM7.95 juta projek yang dilancarkan pada hari ini, Kerajaan Negeri dan PDC telah memperuntukkan sejumlah RM122.08 juta untuk pembangunan infrastruktur iaitu jalan raya, jambatan serta kerja-kerja berkaitan di Seberang Perai.

“Kerajaan Negeri dan PDC berbangga untuk memaklumkan bahawa semua enam projek infrastruktur ini adalah bebas daripada bayaran tol,” jelas Guan Eng.