Naik taraf jambatan Kampung Guar Kepah limpah manfaat 130 buah rumah penduduk

LAWATAN Exco Kerja Raya dan Infrastruktur diiringi Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri melawat tapak projek penarafan jambatan dekat Kampung Guar Kepah, Penaga tadi.

PENAGA – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang siap menaik taraf jambatan lama yang menghubungkan dua batas sawah dekat Kampung Guar Kepah dengan kos sebanyak RM409,355.

 

ZAIRIL Khir Johari

Bercakap kepada pemberita, Exco Kerja Raya dan Infrastruktur, Zairil Khir Johari memberitahu projek itu bakal melimpahkan manfaat kepada penduduk sekitar terutama 130 buah rumah penduduk kampung di sini.

Menurutnya lagi, jambatan lama berukuran 12 meter (m) X 3m yang dilebarkan menjadi 12m X 6m membolehkan van ambulans atau lori bomba mengakses masuk ke kampung ini jika diperlukan pada masa hadapan.

 

Projek penarafan lain, tambah Zairil, termasuk penurapan jalan ladang sepanjang 800m dan 1,100m ke jambatan tersebut.

 

LAY Hock Peng

Di samping itu, katanya lagi, aras jambatan baharu yang ditinggikan 400 milimeter (mm) juga berfungsi sebagai ‘tebatan’ jika berlaku limpahan di tali air tersebut.

Bercakap pada sidang media sama, Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng berkata bahawa projek penarafan tersebut sekali gus melambangkan pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengutamakan agenda pembangunan kawasan luar bandar di Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS