Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri gerakkan misi kedua, bantu mangsa banjir Pahang

Admin
LAY Hock Peng

BERTAM – Pada 18 dan 19 Januari 2022 Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri berhasrat menghantar sekali lagi bantuan berbentuk barang-barangan bagi membantu mangsa banjir di Bentong dan Karak dekat negeri Pahang.

Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng berkata bahawa pihaknya akan membuka sebahagian ruang pejabatnya dekat Jalan Satu di sini untuk orang awam yang mahu menyumbang barang-barang bantuan berkaitan.

“Mulai 10 hingga 16 Januari 2022, kita akan buka pejabat untuk orang awam menyumbang barang-barang bantuan untuk diserahkan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri Pahang.

“Sumbangan dalam bentuk duit ringgit bolehlah dibuat menerusi Maybank atas penama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bumbung Lima pada nombor akaun 157410187363.

“Tumpuan dalam misi kedua ini adalah untuk membantu mangsa banjir terutama warga emas dan mereka yang bakal menyambut Tahun Baru Cina,” jelasnya kepada pemberita di sini pada 6 Januari 2022.

LAY Hock Peng (duduk, tengah) dalam sidang media ringkas di Bertam tadi.

Dua Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ooi Yong Wooi dan Ng Yee Siang; serta Pegawai Seranta Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bertam, Tan Hock Lai turut sertai sidang media ringkas tersebut.

Difahamkan, pada 23 Disember tahun lepas Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri menggerakkan misi pertama bantuan pasca bencana dengan menyalurkan bantuan makanan dan kelengkapan bernilai kira-kira RM30,000 kepada mangsa-mangsa banjir di negeri Selangor.

Dalam perkembangan lain, Hock Peng memberitahu bahawa bahawa pihaknya pada 24 Januari ini turut akan mengedarkan 600 hamper kepada penduduk terpilih di Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor sebagai meraikan mereka yang bakal menyambut Tahun Baru Cina 2022.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS