Naik taraf longkang Jalan Makloom atasi banjir kilat

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

DATUK KERAMAT – Longkang sepanjang 100 meter (m) di Jalan Makloom bakal dinaik taraf demi meningkatkan keupayaan menampung lambakan air, sekaligus mengurangkan lagi risiko banjir kilat.

Bercakap kepada pemberita, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, projek penarafan tersebut mengambil kira sebahagian Jalan Makloom yang berada di kawasan rendah.

“Kerja-kerja naik taraf yang akan dijalankan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) termasuklah membina satu box culvert dengan saiz 1,500 milimeter (mm) x 1,050 mm sepanjang 1 0 0 m , memasang pam berkapasiti lima liter sesaat dan pintu air bagi mengeluarkan air dari kawasan ini.

“Untuk makluman , selain dari kawasan ini, langkah-langkah jangka masa pendek dan sederhana juga sedang dilaksanakan di beberapa kawasan lain sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Keramat.

Ini termasuk kerja-kerja naik taraf parit di Kampung Makam dan tempat-tempat yang dikenal pasti,” ujarnya ketika melawat tapak projek di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Jurutera Jabatan Kejuruteraan MBPP, Mohd. Nasrul Nizam Nasri serta beberapa anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat.

Nasrul Nizam memberitahu, fungsi box culvert akan menakung lebihan air hujan di sekitar Jalan Makloom, sebelum disedut keluar oleh pam ke longkang Jalan Che Rose.

“Tanpa pemasangan, pam air tidak boleh keluar dengan sendirinya memandangkan di sini adalah kawasan yang rendah.

“Kita jangka projek akan bermula pada (bulan) Januari 2018 dan selesai pada Jun tahun hadapan.

“Tentang kos, kita tidak dapat nyatakan di sini kerana sekarang masih di peringkat penyediaan dokumen tender dan lukisan,” jelasnya.