Naik taraf lorong belakang bagi suasana lebih selamat, hijau & bersih

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Rata-rata peniaga dan pemilik unit memuji cadangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk menaik taraf lorong belakang di sekitar George Town.

Malah, kira-kira 40 peniaga dan pemilik unit di sekitar kawasan berkaitan yang dijemput menghadiri forum pertama Projek Menaik Taraf Lorong Belakang anjuran MBPP baru-baru ini menyatakan bahawa inisiatif tersebut memerlukan kajian lebih terperinci sebelum dilaksanakan.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail berkata, projek mentransformasikan lorong belakang adalah bertujuan menghidupkan suasana lorong-lorong berkaitan selain menambah kualiti hidup penduduk di kawasan sekitar.

“Projek Menaik Taraf Lorong Belakang ini akan mengubah imej lorong yang gelap, berbahaya, terbiar dan kotor kepada suasana (lorong) lebih selamat, hijau dan bersih.

“Kerja-kerja yang akan dijalankan adalah melibatkan pembaikpulihan jalan, penanaman pohon-pohon hijau serta pokok- pokok bunga, pemasangan lampu, papan tanda dan kerja-kerja pengindahan lain.

“Lorong-lorong yang telah ditransformasikan ini kelak bukan sahaja boleh digunakan untuk aktiviti berbasikal serta berjalan kaki, malah mungkin berpotensi untuk dijadikan lokasi perniagaan,” jelasnya.

Forum tersebut dipanelkan oleh AhliDewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng, Ar. Yew Tung Siang (Setiausaha Bandaraya) dan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Ahli Majlis MBPP). Turut serta, Ahli-ahli Majlis MBPP, Ketua-Ketua Jabatan MBPP, wakil Think City Sdn. Bhd. (ThinkCity) dan beberapa wakil pihak pemaju.

Dalam pada itu, menurut Tung Siang,buat permulaan, terdapat tiga zon perintis yang telah dikenal pasti iaitu, Zon 1 yang mana melibatkan Jalan Magazine ke Jalan Gurdwara; Jalan Cheong Fatt Tze ke Jalan Dr. Lim Chwee Leong (Zon 2) dan Lebuh Tamil ke Jalan Dr. Lim Chwee Leong (Zon 3).

“Menaik taraf lorong-lorong belakang ini bukan perkara baru, sebelum ini, inisiatif sama (menaik taraf) telah dilakukan di Lebuh Armenian dan Lebuh Campbell. Anda boleh lihat sendiri bagaimana ia telah berubah.

“Justeru, Majlis kini sedang melakukan kaji selidik dan mengumpul maklum balas berhubung perkara ini bermula 20 Februari sehingga 20 Mac 2017,” jelasnya.

Difahamkan, keseluruhan lorong belakang di sekitar George Town adalah kira-kira 50 hingga 60 kilometer (km).

Bagi menyertai kaji selidik dan sebarang maklum balas, sila layari portal MBPP, http://www.mbpp.gov.my/.