Rujuk PBT sebelum laksana projek termasuk pembangunan

Admin

AIR PUTIH – Pemilik-pemilik tanah persendirian dinasihatkan supaya merujuk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) terlebih dahulu sebelum menjalankan sebarang pembinaan dan kerja-kerja tanah.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Joseph Ng Soon Siang berkata, pemilik-pemilik tanah persendirian berkenaan perlu mendapatkan kelulusan daripada PBT terlebih dahulu sebelum menjalankan sebarang projek pembangunan.

Menurutnya, beliau kesal dengan pemilik Lot 1412, Lorong Khoo Hye Keat, Air Putih, yang dipercayai membina longkang konkrit di atas Sungai Air Itam dan menyatakan bahawa projek tersebut adalah di bawah kelolaan Kerajaan Negeri.

“Saya ada hubungi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang untuk mengesahkan sama ada ini adalah projek mereka, namun dinafikan.

“Bertindak atas aduan masyarakat setempat, MBPP telah menghantar Notis Mengkehendaki Kerja Diberhentikan (Seksyen 70A) selaras dengan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kepada pemilik tanah tersebut baru-baru ini.

“Pembinaan yang kita lihat ini juga dilakukan di atas sungai dengan menambah struktur konkrit yang menyebabkan sungai di sini menjadi sempit dan kita bimbang ianya boleh menyebabkan banjir di kawasan ini,’’ katanya pada sidang media di tapak pembinaan dekat sini baru-baru ini.

Menurut Soon Siang, apabila pembinaan dilakukan berhampiran sungai, ia memerlukan jarak 6 meter jauh daripada sisi kiri dan kanan sungai tersebut.